Berita

Jalan dan longkang rosak di DUN Chuah akan dibaiki segera

Sumbangan Jimah East Power bantu penduduk setempat

CHUAH: Jalan dan longkang yang rosak di beberapa lokasi di dalam DUN Chuah akan dibaiki dengan secepat mungkin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, YB Michael Yek Diew Ching

Michael Yek berkata syarikat pengeluar tenaga persendirian (IPP), Jimah East Power bersedia membaiki infrastruktur terbabit di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Beliau berkata demikian setelah melawat lokasi jalan dan longkang yang alami kerosakan, bersama Pengurus Kanan Jimah East Power, Encik Rashid Din.

“Ada projek yang dijalankan oleh pihak tertentu dan faktor hujan lebat yang kerap sebelum ini telah mengakibatkan sebahagian jalan dan longkang rosak.

“Ini menyebabkan ketidakselesaan penduduk tempatan dan juga pernah mengakibatkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

“Setiap kali hujan pula, kebun kelapa sawit dan sekolah yang bersebelahan dengan longkang yang ditutupi tanah atau rosak ini, akan menyebabkan banjir,” kata Michael Yek.

Lokasi yang yang dilawati adalah longkang yang rosak di Kampung Baru Tanah Merah Site C, jalan dan longkang di Kampung Chuah, dan kawasan kebun kelapa sawit berhampiran dengan Jimah Power.

Menurut Michael Yek, untuk penyelesaian masalah ini, beliau telah berjumpa dengan pihak Jimah Power pada bulan Mac lepas dan mendapat persetujuan daripada pihak Jimah East Power untuk bantu menyelesaikan masalah ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Rashid dan pihak Jimah East Power di atas sumbangan CSR membantu membaiki jalan dan longkang yang rosak ini,” ujar beliau.

Turut hadir Pengerusi MPKK Tanah Merah Site C, Encik Wong Kong Loi; Pengerusi MPKK Kampung Chuah, Encik Awang Ahmad Awang Hussein; Pengerusi MPKK Kampung Bukit Pelandok, Puan Chin Fung Lan dan Setiausaha MPKK Kampung Chuah, Encik Tan Eng Kiong.

Dalam satu kenyataan bersama ke semua Pengerusi MPKK kampung tersebut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ADUN Chuah dan pihak Jimah East Power kerana sudi bekerjasama dan membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Mereka berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin untuk menjamin keselamatan penduduk tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button