Berita

Jambatan runtuh di Kampung Petaseh akan dibaiki segera,” Zainal Fikri

Zainal Fikri hulur bantuan makanan kepada 30 keluarga yang terlibat dengan banjir

PERTANG: Kerosakan infrastruktur akibat banjir Selasa lepas di Taman Pertang dan Kampung Petaseh akan dibaiki segera,” kata Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abdul Kadir.

Zainal Fikri berkata, kejadian banjir ini menyebabkan sebuah jambatan di Taman Pertang rosak, manakala sebahagian Jalan Sepiah di Kampung Petaseh mendap.

“Jalan ini menghubungkan lima buah rumah di Kampung Petaseh dan tiada jalan alternatif lain untuk keluar masuk.

“Dua buah jambatan di Kampung Petaseh runtuh termasuk sebuah yang menjadi laluan utama kepada penoreh getah untuk ke kebun getah,” jelas Zainal Fikri.

Zainal Fikri berkata, semua kerosakan infrastruktur di Taman Pertang dan Kampung Petaseh akan dibaiki segera.

“Saya juga akan memohon kepada jabatan berkaitan untuk membina penahan tebing di Jalan Bukit, Kampung Petaseh bagi mengelakkan hakisan tanah kerana kejadian tanah runtuh di lokasi ini boleh mengancam keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran.

“Penolong Jurutera Pejabat Daerah, Pegawai Unit Pembangunan Daerah serta Majlis Daerah Jelebu turut serta bersama-sama saya turun padang melihat kawasan yang terjejas untuk tindakan segera,” kata Zainal Fikri.

Zainal Fikri berkata, banjir kilat ini juga mengakibatkan dua puluh (20) buah rumah di Kampung Pertang, lima (5) buah rumah di Kampung Petaseh, empat (4) buah rumah di Kampung Kerangai dan sebuah (1) rumah di Kampung Tambahtin dinaiki air.

“Saya telah menghantar bantuan makanan kepada semua mangsa banjir yang terlibat dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut serta mengambil maklumat mangsa banjir untuk bantuan selanjutnya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button