Berita

Kelewatan program vaksinasi disebabkan kepincangan Kerajaan Pusat,” Rebin

Saranan meminta Kerajaan Negeri membeli vaksin mencerminkan kegagalan Kerajaan Pusat

JEMPOL: Ketua Cabang KeADILan Jempol, Saudara Rebin Birham menyifatkan kelewatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, berpunca dari kepincangan dan kelemahan Kerajaan Pusat sendiri.

Rebin berkata, kenyataan ADUN Palong, YB Mustapha Nagoor yang menyarankan Kerajaan Negeri Sembilan membeli vaksin sendiri, mencerminkan kegagalan Kerajaan PN di Putrajaya.

“Ini kerana tanggungjawab program imunisasi di semua negeri adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat PN di bawah Program Imunisasi Kebangsaan dan ia bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri Sembilan.

“Meskipun Kerajaan Pusat membenarkan mana-mana Kerajaan Negeri untuk membeli bekalan vaksin sendiri, ianya jauh dari kemampuan Kerajaan Negeri Sembilan jika di bandingkan dengan Negeri Selangor contohnya.

“Ini kerana unjuran KDNK kedua-dua negeri jauh berbeza malah negeri-negeri yang dikuasai oleh PN dan BN pun tidak mampu membeli bekalan vaksin sendiri.

“Adalah lebih baik simpanan kewangan Kerajaan Negeri Sembilan digunakan untuk keperluan rakyat dan pembangunan negeri,” kata Rebin.

Jangan alih isu

Rebin yang juga Penyelaras DUN Palong menasihatkan Mustapha agar tidak alih isu kerana mahu menutup kelemahan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kerajaan Pusat PN dan BN.

“Saya percaya dan yakin beliau lebih mengetahui kelemahan program imunisasi ini datangnya dari kelemahan Kerajaan Pusat.

“Adalah lebih baik sekiranya beliau memberi saranan atau tekanan kepada YB Khairy Jamaluddin untuk mempertingkatkan bekalan vaksin dan proses vaksinasi, sebelum menyarankan Kerajaan Negeri membeli bekalan vaksin.

“Titah DYMM Sultan Selangor baru-baru ini jelas menggambarkan proses pemberian vaksin di negara ini adalah lemah dan perlahan.

“Pakar kesihatan juga mempertikaikan proses vaksinasi di negara ini yang dianggap perlahan. Ini kerana ada di antara rakyat yang mendaftar di aplikasi MySejahtera masih lagi menunggu jawapan untuk program imunisasi ini.

“Malah Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan akui program imunisasi di negara ini perlahan kerana bekalan yang tidak mencukupi.

Khairy merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button