Berita

Kempen Sungai Bersih – Kerajaan Negeri Sembilan tawar hadiah RM40 ribu

TAMPIN: Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan hadiah wang tunai dan barangan (in-kind) sehingga bernilai RM40 ribu bagi memastikan sungai di negeri ini sentiasa bersih dan terpelihara.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam berkata, insentif ini memberi galakan kepada masyarakat seperti MPKK dan KRT serta organisasi awam dan swasta untuk terus memelihara kawasan sungai.

“Kerajaan Negeri sedang menganjurkan pertandingan ‘Jom Waghih Tughuh Sungai’ dan ‘Kutip Sampah Sambil Riadah’ yang menggalakkan rakyat Negeri Sembilan melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan terutamanya yang berhampiran dengan sungai dan badan air secara individu ataupun berkumpulan sempena Hari Sungai tahun ini

“Terima kasih kepada Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun yang menyokong penuh kempen sungai bersih ini ,” kata Veerapan.

Veerapan berkata demikian di Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Rembau, Lubuk China.

Veerapan yang juga ADUN Repah berkata, terdapat 10 lokasi di jajaran sungai di tujuh daerah di Negeri Sembilan yang telah dikenalpasti untuk dijadikan lokasi tarikan masyarakat setempat di bawah program Denai Sungai Kebangsaan.

“Negeri Sembilan antara negeri yang berhadapan dengan isu pencemaran air dan alam sekitar.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencemar sungai menjadi punca penutupan loji air dan menjejaskan bekalan air kepada penduduk setempat.

“Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan seluruh rakyat di dalam negeri ini memahami peranan masing-masing termasuklah pemain industri dalam menjaga kelestarian sungai dan alam sekitar,” ujarnya.

Turut hadir, Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan, Ir.Saari Abdullah.

 

Show More

Related Articles

Back to top button