BeritaMenarik

RM420 juta lagi pelaburan dibawa masuk

SEREMBAN: Sebanyak RM420 juta lagi pelaburan dibawa masuk ke dalam Negeri Sembilan untuk bertapak di TechPark@Enstek, Bandar Enstek.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pelaburan tersebut dibawa masuk oleh TH Properties Sdn. Bhd. yang terdiri daripada empat syarikat baru iaitu Educ8 Group, Gobuilders Netsoft, Malindo Airways dan Meta Legends.

“Kemasukan pelaburan yang baru ini juga dijangka dapat membuka sebanyak 2,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Ini menunjukkan bahawa TechPark@Enstek terus menjadi kawasan perhatian kepada para pelabur kerana awal tahun ini sebanyak RM4 billion pelaburan telah dibawa masuk.

“Bagi pelaburan baru ini ia akan merangkumi beberapa sektor iaitu logistik, penyimpanan dan pembelajaran.

“Kemasukan pelabur-pelabur baru ini juga dapat menyumbang kepada hasil negeri dan sejajar dengan sasaran Kerajaan Negeri melalui Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 untuk pertumbuhan KDNK mencapai 4.5 peratus,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut tambah, keberadaan Bandar Enstek di dalam Wilayah Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 memberikan impak kepada limpahan kemakmuran ekonomi.

“Perkembangan ini mampu membantu untuk memangkin kemampanan ekonomi dan kemakmuran jangka panjang secara keseluruhannya melalui aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan sumber tempatan, perkasa infrastruktur dan pelbagai lagi,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button