Berita

Kemudahan sukan di Taman Forest Bayu akan dibaik pulih

SEREMBAN JAYA: Kemudahan sukan dan rekreasi di Taman Forest Bayu akan dibaik pulih, kata ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren.

Gunasekaren bersama Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Puan Jamilah Said Ali telah meninjau lokasi aduan gelanggang futsal yang mengalami kerosakan.

“Hasil lawatan bersama tadi, didapati papan penahan tiang gol, jaring gol, permukaan lantai simen gelanggang dan beberapa peralatan rekreasi di taman permainan ini mengalami kerosakan.

“Permasalahan ini akan dipanjangkan kepada Jabatan Taman dan Landskap Majlis Bandaraya Seremban untuk kerja-kerja pembaikan dan memasang pagar di sekeliling gelanggang, meletakkan tong sampah bagi kemudahan membuang sampah dan memasang tiang gol berjaring,” ujar Gunasekaren.

Gunasekaren turut meninjau lokasi aduan rimbunan pokok besar dan tinggi di lereng bukit yang mengundang bahaya kepada penghuni.

Kerosakan sebahagian sebuah jalan di taman tersebut, berikutan kerja-kerja pembaikan paip turut mendapat perhatian Gunasekaren.

“Semua aduan ini termasuk permohonan membina bonggol jalan akan dirujuk kepada pihak MBS untuk tindakan selanjutnya,” kata Gunasekaren.

Turut hadir sama Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Forest Bayu, Encik Fazli dan Encik Roslan.

Show More

Related Articles

Back to top button