Berita

Kerajaan digesa turunkan harga Kit Ujian Kendiri Covid-19

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin mengesa Kerajaan Persekutuan menurunkan harga jualan Kit Ujian Kendiri Covid-19 secara berperingkat.

Cha berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menurunkan harga jualan Kit Ujian Kendiri Covid-19 bagi membolehkan lebih ramai rakyat membuat ujian kendiri Covid-19.

“Kerajaan pada 5 September yang lalu telah menetapkan harga runcit bagi setiap kit RM19.90 dan harga borong RM16.00.

“Justeru, saya mencadangkan harga Kit Ujian Kendiri Covid-19 ini diturunkan kepada RM15 seunit pada bulan Oktober, RM10 seunit pada bulan November dan akhirnya RM5 seunit.

“Harga RM5 seunit adalah harga berpatutan yang membolehkan semua golongan termasuk B40 mempunyai kemampuan untuk membeli kit ini,” kata Cha dalam sidang media khas di lobi parlimen pada Selasa.

Terlebih dahulu Cha bertanya sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga maksimum Kit Ujian Kendiri Covid-19 secara berperingkat daripada harga siling yang telah ditetapkan pada RM19.90.

Menteri KPDNHEP, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan menurunkan harga kit perlu mengambil kira kepentingan semua pihak dengan pendekatan menang-menang.

“Kementerian akan membuat sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk fasiliti farmasi dan klinik.

“Kos pengeluaran dan import juga perlu diambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum yang baharu,” katanya bagi menjawab pertanyaan Cha di Dewan Rakyat, pada Selasa.

 

Show More

Related Articles

Back to top button