Berita

Arul: Kerajaan Negeri akan pertimbang naik taraf jambatan Batang Benar – Nilai 3

Pembinaan jambatan Bailey di Kampung Batang Benar Hilir siap

NILAI: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan mempertimbangkan kerja-kerja menaik taraf jambatan Batang Benar – Nilai 3, kerana ia akan menyelesaikan banyak masalah serta memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan raya; kata ADUN Nilai, YB J.Arulkumar.

Selepas meninjau kerja pembinaan jambatan ‘Bailey’ di Kampung Batang Benar, Arulkumar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, telah meninjau satu lagi jambatan yang sangat sibuk dan perlu dinaik taraf kepada dua laluan, iaitu jambatan di atas landasan keretapi yang menghubungkan Batang Benar dan Nilai 3.

“Laluan ini adalah jalan yang sangat sibuk pada waktu pagi dan petang serta digunakan oleh ramai pekerja untuk ke tempat kerja di Nilai 3.

“Ia juga salah satu laluan untuk mengelakkan kesesakan di jalan utama Pajam ke Nilai.

“Kos pembinaan jambatan ini tinggi berbanding dengan pembinaan jambatan biasa kerana jambatan ini terletak di atas landasan keretapi.

“Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan kerja-kerja menaik taraf jambatan ini kerana ia akan menyelesaikan banyak masalah serta memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan,” kata Arulkumar.

Terlebih dahulu, Aminuddin meninjau kerja pembinaan jambatan ‘Bailey’ yang telah siap dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan untuk menangani masalah runtuhan jalan di Kampung Batang Benar Hilir, Mantin.

“Kerajaan Negeri Sembilan sedang merancang penggantian jambatan asal yang telah rosak.

“JKR Negeri Sembilan diamanahkan untuk merekabentuk jambatan pengganti tersebut dan pembinaan dijangka akan bermula pada tahun hadapan,” kata Aminuddin.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button