Berita

Kerajaan Negeri ambil langkah memastikan bekalan air tidak putus

Mewujudkan Off River Storage dan LRA Ngoi Ngoi 2 bakal dibina

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan mengambil beberapa langkah bagi memastikan kejadian bekalan air terputus seperti di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi baru-baru ini tidak berulang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata; Kerajaan Negeri memandang serius insiden bekalan air terputus di Port Dickson, akibat daripada pemberhentian operasi LRA Sungai Linggi.

“Kerajaan Negeri bakal melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan kejadian sebegitu tidak berulang dan ini termasuk mewujudkan fasiliti Off River Storage (ORS) di kawasan Port Dickson.

“Fasiliti ini bakal meningkatkan lagi kebolehan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam menangani insiden di luar jangkaan.

“Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti lokasi ORS tersebut dan sedang berbincang dengan badan-badan berkaitan berkenaan pelaksanaannya,” ujar Aminuddin.

LRA Ngoi Ngoi 2 akan tingkatkan bekalan air Seremban Utara, Nilai dan Port Dickson

Menurut Aminuddin, Kerajaan Negeri juga bakal membina sebuah loji baharu iaitu LRA Ngoi Ngoi 2 bagi meningkatkan keupayaan SAINS dalam membekalkan air terutamanya di kawasan Seremban Utara, Nilai dan juga Port Dickson.

“Projek LRA Ngoi Ngoi 2 kini sedang berada dalam proses tender dan surat tawaran kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada pertengahan tahun hadapan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri telah menggerakkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan, supaya memantau tebing-tebing sungai yang berisiko tinggi agar kejadian sebegini tidak berulang.

“Semoga dengan langkah-langkah yang diambil ini dapat memastikan rakyat Negeri Sembilan sentiasa mempunyai bekalan air dalam apa jua situasi, Insyah Allah,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button