Berita

Kerajaan Negeri ambil serius isu tumpahan minyak di Port Dickson

Kerja pembersihan sedang dilakukan oleh agensi berkaitan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil serius terhadap insiden tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan, Melaka pada 12 Oktober 2020 lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah (JTPPPD) Port Dickson telah diaktifkan serta merta dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka bagi menyelaras dan melaksanakan kerja pembersihan dan pelupusan sisa berminyak di kawasan yang terjejas.

Kerja siasatan juga sedang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM), serta langkah pemantauan dan rondaan laut juga dilakukan dengan oleh agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan Negeri amat kesal dengan kejadian yang telah menjejaskan sepanjang lebih kurang dua kilometer kawasan persisiran pantai Port Dickson yang merupakan kawasan pelancongan utama Negeri Sembilan.

“Impak bencana bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan, ekonomi perusahaan sekitar serta memberi kesan kepada kesejahteraan awam yang tidak dapat melawat pantai tersebut dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan meneliti pendekatan yang perlu diambil dengan kerjasama Jabatan Laut serta agensi lain yang berkaitan agar insiden seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Aminuddin, kerja pembersihan sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan berkaitan dan mendapat kerjasama daripada SWCorp, SWM dan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar TNB.

Foto: Nabil Syafiq 

 

Show More

Related Articles

Back to top button