Berita

Kerajaan Negeri berusaha menarik pelabur Jepun ke Negeri Sembilan

Pelan Pembangunan Negeri Sembilan akan dibentang kepada JETRO dan JACTIM

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sedang berusaha untuk menarik pelabur Jepun ke Negeri Sembilan

Baru-baru ini, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek telah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Sembilan bertemu Duta Jepun di Malaysia, TYT Oka Hiroshi di Kediaman Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur

Mohamad Rafie berkata, Kerajaan Negeri akan membentangkan Pelan Pembangunan Negeri Sembilan kepada JETRO (Japan External Trade Organization) dan JACTIM (The Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia) pada minggu kedua bulan Oktober ini dan mesyuarat tersebut diatur oleh Kedutaan Jepun.

“JETRO adalah organisasi berkaitan Kerajaan Jepun yang mempromosi perdagangan dan pelaburan.

“Manakala JACTIM adalah organisasi yang mempromosi hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun dalam sektor perdagangan antarabangsa, perniagaan, perindustrian dan pelaburan serta berusaha menjaga kepentingan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia.

“Usaha untuk menarik pelabur yang berkualiti ke Negeri Sembilan akan membuka peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada masyarakat khususnya rakyat di Negeri Sembilan.

“Walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir, yang membataskan pergerakan ke luar negara namun Perbadanan NS (NS Corp) yang diberi amanah untuk memacu ekonomi Negeri Sembilan akan terus berusaha untuk mempromosi dan menarik pelabur menerusi pelbagai saluran termasuk pertemuan dengan duta-duta asing di Malaysia,” kata Mohamad Rafie.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NS Corp, Encik Ab Rahim Ab Rahman; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Encik Muhamad Nahar Mohd Sidek; Ketua Pegawai Eksekutif Invest NS, Encik Najmudin S Sharif; Pengurus Strategik NS Corp, Puan Nadiah Abu Bakar dan Pegawai NS Corp, Muhammad Haziq. Mesyuarat turut dihadiri Pegawai Komersial Kedutaan Jepun, Nakagawa Kazutaka.

Show More

Related Articles

Back to top button