Berita

Kerajaan Negeri lulus tempat ibadat Bukan Islam di Bandar Ainsdale

Sebelum ini sebuah kuil Hindu terletak di Ladang Ainsdale sebelum pembangunan baru bermula

SEREMBAN: Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J Arul Kumar berkata; Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah meluluskan permohonan daripada Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman untuk merizabkan sebidang tanah seluas lebih kurang 12,000 kaki persegi untuk kegunaan tempat ibadat kuil.

“Pemaju Bandar Ainsdale, Sime Darby telah memperuntukkan tiga bidang tanah dalam satu kawasan untuk kegunaan tempat ibadat Bukan Islam, iaitu untuk tempat ibadat Hindu, Buddha dan Kristian.

“Pemberian tempat ibadat ini mengikut permohonan daripada jawatankuasa pengurusan tempat ibadat dan akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri selepas mengambil kira beberapa faktor selepas menerima laporan daripada beberapa agensi kerajaan.

“Dalam isu tiga lot tempat ibadat di Bandar Ainsdale ini, terdapat beberapa jawatankuasa pengurusan telah mohon dan sedang dipertimbangkan oleh Pejabat Daerah Seremban dan Kerajaan Negeri,” kata Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar yang juga merupakan ADUN Nilai; bagi lot tempat ibadat yang dikhususkan untuk Hindu, Pejabat Daerah Seremban hanya menerima satu permohonan sahaja iaitu daripada Jawatankuasa Pengurusan Arulmigu Sri Maha Mariamman Ainsdale.

“Ini kerana kuil ini sebelum ini terletak di dalam kawasan pembangunan perumahan Bandar Ainsdale.

“Maka kuil tersebut telah dipindahkan di kawasan ini dan Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan tanah tersebut untuk kegunaan kuil sebagai rizab tempat ibadat (kuil) di bawah kawalan Pegawai Daerah Seremban.

“Selepas kelulusan tanah rizab seperti ini, pembinaan tempat ibadat dapat dilakasanakan dengan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“Ini adalah untuk memastikan setiap pembinaan tempat ibadat mematuhi semua syarat pihak berkuasa tempatan dan selamat untuk semua orang awam,” jelas Arul Kumar.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Foto: Sugumaran

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button