Berita

Kerajaan Negeri mahu ERAT kan hubungan pelbagai kaum

RM500,000 diperuntukkan untuk ERAT@NS tahun ini

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mahu meningkatkan tahap kesedaran rakyat pelbagai kaum di negeri ini tentang pentingnya amalan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu serta bersatupadu.

Justeru, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu inisiatif yang dikenali sebagai ERAT@NS dengan peruntukan RM500,000 untuk tahun ini.

Sehubungan dengan itu, Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional, YB Choo Ken Hwa telah mengadakan taklimat Garis Panduan Permohonan Inisiatif ERAT@NS kepada semua ADUN dan Penyelaras DUN di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri petang kelmarin.

“ERAT@NS menyediakan medium bagi membolehkan penduduk setempat saling berkenalan, saling berinteraksi, bantu-membantu, meningkatkan keharmonian dan keselamatan setempat.

“Selain dapat merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya,” kata Choo.

Program mesti melibatkan minimum tiga organisasi dan dua kaumĀ 

Di bawah ERAT@NS, pemberian geran peruntukan sebagai insentif dan galakan Kerajaan Negeri kepada organisasi komuniti (pertubuhan, persatuan di bawah naungan kerajaan dan NGO) bagi penganjuran program atau aktiviti organisasi komuniti yang menepati syarat teras perpaduan yang ditetapkan.

“Program yang dianjurkan mesti melibatkan kerjasama strategik minimum tiga organisasi komuniti atau masyarakat yang terdiri dari pelbagai budaya, kaum, dan agama.

“Kumpulan sasar pelbagai kaum iaitu tiga atau minimum dua kaum berbeza dan program berimpak tinggi kepada kesejahteraan dan pengukuhan perpaduan,” jelas Choo.

Choo turut memberi penerangan tentang kaedah permohonan dan syarat-syarat yang berkaitan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button