Berita

Kerajaan Negeri mahu setiap pelaburan buka peluang pekerjaan dan perniagaan

Mahu memastikan kontraktor Negeri Sembilan terlibat dalam projek pelaburan

SEREMBAN: Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan memastikan setiap pelaburan di negeri ini akan membuka peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.

“Kita ingin memastikan usaha-usaha yang diambil untuk setiap pelaburan yang dibawa masuk, bukan hanya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada rakyat di Negeri Sembilan.

“Justeru itu, sebagai contoh baru-baru ini, apabila kita memberi kelulusan kepada sebuah syarikat di dalam sektor elektrikal dan elektronik yang mahu melabur sejumlah USD350 juta iaitu sekitar RM1.5 bilion, kita telah
mendapat kerjasama daripada pelabur berkenaan untuk memastikan kontraktor-kontraktor dari Negeri Sembilan terlibat dalam projek tersebut,” katanya.

Mohamad Rafie berkata demikian dalam Persidangan Kedua (Khas – Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14, kelmarin.

Beliau turut menyentuh persoalan status inisiatif-inisiatif khas di Wilayah Malaysia Vision Valley (MVV 2.0) yang merangkumi kawasan Seremban dan Port Dickson.

“Untuk memastikan pelaburan secara terancang, Perbadanan NS yang diberi amanah untuk membangunkan ekonomi di Negeri Sembilan khususnya Wilayah MVV 2.0, merangka Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (NS Economy Master Plan).

“Pelan Induk Pembangunan Ekonomi ini merangkumi pembangunan sehingga tempoh 25 tahun
iaitu sehingga tahun 2045 dan ianya amat penting kerana kita ingin memastikan pembangunan secara terancang dan teratur.

“Kita juga mahu memastikan pelaburan yang memasuki Negeri Sembilan adalah sektor industri berteknologi tinggi yang memerlukan pekerja-pekerja yang berilmu dan berkemahiran (knowledge and skill workers),” ujar Rafie lagi.

Rafie berkata Kerajaan Negeri tidak lagi berminat sektor perindustrian yang memerlukan pekerja tidak mahir yang ramai (labor intensive) atau industri yang mencemarkan alam sekitar.

Usaha ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini khususnya di Negeri Sembilan.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button