Berita

Kerajaan Negeri nafi terima cadangan pembangunan Felda berskala besar

Pembangunan berskala besar perlu dinilai UPEN terlebih dahulu

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengesahkan Kerajaan Negeri tidak pernah menerima sebarang cadangan pembangunan bagi memajukan kawasan tanah milik peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagaimana yang dilaporkan di media baru-baru ini.

“Pada dasarnya, cadangan pembangunan di Negeri Sembilan khususnya yang berskala besar perlu dinilai kesesuaian pelaksanaannya terlebih dahulu di peringkat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan mengambil kira ulasan dan pandangan jabatan berkaitan.

“Permohonan Kebenaran Merancang juga perlu dikemukakan sama ada di peringkat One Stop Centre (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan atau Jawatankuasa Perancang Negeri bagi memastikan cadangan pembangunan yang bakal dilaksanakan mematuhi Garis Panduan Perancangan sedia ada.

“Adalah dinasihatkan supaya para peneroka tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran untuk pembelian tanah milik mereka bagi tujuan pembangunan sedemikian dan peneroka boleh merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan berkaitan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian merujuk kepada laporan media berkenaan cadangan pembangunan bagi memajukan kawasan tanah milik peneroka Felda berskala besar di Wilayah Raja Alias oleh syarikat swasta melibatkan kerjasama pelaburan dari luar negara.

Untuk rekod, pada bulan Mac 2020, Pegawai Daerah Jempol dalam satu kenyataan media, pernah menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berkaitan spekulasi ini yang menular di kawasan Felda berkenaan yang melibatkan syarikat yang sama.

#NegeriSembilanBersihMuafakatSejahtera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close