Berita

Kerajaan Negeri perkenal sistem e-qurbans untuk ibadah korban

Bermula 10 pagi 9 Julai hingga 12 tengahari 24 Julai ini

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan sistem e-qurbans (e-qurb@ns) untuk pemusatan data permohonan pelaksanaan ibadah korban untuk tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sistem perkhidmatan atas talian yang diperkenalkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ini akan memudahkan pemohon atau penganjur memohon kelulusan lokasi korban bagi memenuhi garis panduan (SOP) Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Permit Sembelihan Luar (PSL).

Sistem ini boleh diakses oleh pemohon di mana-mana sahaja mereka berada melalui telefon pintar atau komputer.

“Permohonan kelulusan lokasi di masjid, surau, sekolah, madrasah, institusi pondok dan Maahad Tahfiz akan diluluskan oleh Pegawai Agama Islam Daerah (PAID).

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan meluluskan permohonan ibadah korban di Dewan Orang Ramai dan kawasan lapang. Manakala untuk permohonan di balai raya, pihak Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) akan meluluskan.

“Mana-mana lokasi yang tidak disenarai akan dikemaskini dari semasa ke semasa oleh setiap agensi terbabit,” ujar Aminuddin.

Aminuddin menjelaskan, selepas mendapat kelulusan lokasi, pemohon perlu hadir ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah untuk urusan mendapatkan SKV dan PSL.

“Setelah lengkap urusan tersebut, pemohon atau penganjur bolehlah melaksanakan ibadah korban dengan mematuhi SOP daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JHEAINS.

“Sistem e-qurbans (e-qurb@NS) ini akan beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu bermula 10.00 pagi 9 Julai sehingga 12.00 tengahari 24 Julai ini,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut memberikan butiran binatang ternakan yang dibenarkan untuk korban iaitu lembu, kerbau, kambing, unta dan kibasy.

“Binatang yang boleh dikorbankan tidak melebihi 10 ekor sehari.

“Jumlah petugas yang dibenarkan di setiap lokasi ibadah korban tidak melebihi 50 orang.

“Wakil peserta ibadah korban dibenarkan hadir seramai dua orang bagi setiap bahagian korban.

“Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan hadir ke lokasi ibadah korban,” jelas Aminuddin lagi.

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button