Berita

Kerajaan Negeri Sembilan dan LKIM ganding bahu tingkat industri perikanan

PORT DICKSON: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan akan berterusan berusaha untuk mempertingkatkan industri perikanan di Negeri Beradat ini.

Dalam lawatan sehari melawat beberapa projek LKIM di sekitar Port Dickson; Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap usaha yang dirancang oleh LKIM Negeri Sembilan untuk memastikan kelangsungan usaha para nelayan di Negeri Sembilan khususnya di kawasan Port Dickson.

Projek pertama yang dilawati adalah Sangkar Ikan Siakap di Sungai Linggi yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang yang telah siap dibina pada 23 Oktober 2019.

“Projek ini memerlukan penambahbaikan seperti pembinaan sekatan nibong dan jaring di hadapan sangkar yang berfungsi sebagai perangkap sampah.

“Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan turut berganding bahu untuk menyelesaikan isu masalah kebersihan di sekitar Sungai Linggi,” kata Aminuddin.

Lawatan yang disertai oleh Exco Pertanian dan Industri Makanan, YB Haji Bakri Sawir; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato Dr Razali Ab Malik; Ketua Pengarah LKIM, Encik Othman Abdul Latiff dan Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Encik Kusuadi Sallih; seterusnya melawat projek Panggar Kupang yang telah siap dibina pada 08 Oktober 2018. Untuk rekod pada tahun 2019 sebanyak 1,456 KG kupang telah berjaya dituai.

Dalam lawatan ke Jeti Sungai Sekawang Aminuddin mengumumkan jeti tersebut akan dinaiktaraf bagi kemudahan para nelayan.

“Jeti ini akan turut dilengkapi dengan kemudahan yang berkaitan, yang akan memberi manfaat kepada nelayan tempatan dan orang ramai.

“Jeti Pengkalan Kampung Gelam, Jeti Pengkalan Sungai Bawah (Penambang) Bukit Pelandok dan Jeti Pengkalan Sungai Rambai, Chuah, juga memerlukan pemulihan dan penambahbaikan terhadap kemudahan yang sedia ada untuk memastikan keselesaan para nelayan,” ujar Aminuddin.

Terlebih dahulu Aminuddin sempat singgah di Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Telok Kemang yang menjual hasil tangkapan nelayan tempatan dan berkesempatan menyaksikan pameran inovasi oleh LKIM Negeri Sembilan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button