Berita

98 siswazah cemerlang terima sumbangan dan hapus kira lebih setengah juta

SEREMBAN: Seramai 98 siswazah cemerlang kelas pertama telah menerima sumbangan dan hapus kira pinjaman berjumlah RM578,500 daripada Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 98 orang penerima anugerah telah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 seorang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh penerima dihapuskira pinjamannya dengan jumlah RM88,500.

“Jumlah keseluruhan sumbangan termasuk hapus kira pinjaman bagi sesi pertama tahun 2022 berjumlah RM578,500,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan Sesi Pertama Tahun 2022 di Klana Resort Seremban.

Menurut Aminuddin lagi, majlis ini adalah sesi pertama daripada tiga sesi yang menggabungkan penerima bagi tahun 2020 dan juga 2021.

“Majlis anugerah tidak dapat dijalankan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Suka saya ingatkan kepada para penerima bahawa kejayaan yang dikecapi pada hari ini juga adalah hasil didikan dan dorongan ibu bapa dan guru masing-masing.

“Ambillah peluang untuk menghargai mereka dan membalas jasa mereka,” ujarnya.

Aminuddin juga mengingatkan para penerima insentif bahawa apa yang penting bukannya anugerah ataupun nilai ganjaran yang diterima tetapi ilmu yang diperolehi ketika menuntut ilmu.

“Gunakanlah ilmu tersebut sebaiknya agar diri, masyarakat dan juga negara mendapat manfaat daripada ilmu yang ditimba,” kata beliau yang juga Ahli Lembaga Yayasan Negeri Sembilan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button