BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan mahu Kerajaan Pusat menambah bekalan vaksin kepada 10 ribu dos suntikan sehari

Dapat naikkan vaksinasi harian kepada 19,000 sehari dan capai sasaran vaksinasi 480,900 orang dalam masa 25 hari di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memohon Kerajaan Pusat menambah bekalan vaksin bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduknya menerima suntikan vaksin Covid-19 dapat dicapai.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kapasiti harian bagi operasi penuh semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah sebanyak 13,814 orang divaksin sehari.  Walaubagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKKNS) menerima secara purata 8,000 dos vaksin sehari.

Kerajaan Negeri pada 11 Jun 2021, telah mengemukakan surat kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF Persekutuan) untuk menambah peruntukan vaksin sehari.

CITF Negeri Sembilan telah memohon supaya ditingkatkan peruntukan bekalan vaksin kepada 10,000 dos suntikan sehari yang melibatkan semua PPV Awam dan Klinik Kesihatan Kerajaan. Kerajaan Negeri juga telah menetapkan supaya 16 PPV Awam ini akan beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad apabila tambahan vaksin ini diterima.

“Tambahan kepada itu, kapasiti tujuh hospital swasta yang sedang beroperasi sebagai PPV Swasta boleh mengendalikan sehingga 2,100 dos vaksin sehari berbanding 1,600 dos yang diperuntukkan pada masa ini.

“Perbincangan dengan klinik swasta melalui wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Negeri Sembilan juga telah diadakan pada 14 Jun 2021 dan maklum balas yang diterima adalah kesemua klinik swasta ini berkeupayaan untuk meningkatkan bilangan vaksinasi sehari.

“28 klinik swasta ini dijangkakan mampu melaksanakan vaksinasi sebanyak 3,360 orang sehari berbanding 2,124 orang pada masa ini.

“Bagi tujuan tambahan vaksin di hospital dan klinik swasta Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri akan memohon supaya ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) meningkatkan peruntukan bekalan ini bagi mengoptimumkan kapasiti PPV Swasta,” jelas Aminuddin.

PPV Mega di USIM

Menurut Aminuddin, selain daripada 72 premis PPV sedia ada, bagi mempercepatkan proses vaksinasi dan imuniti kelompok di Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan membuka satu PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai yang dianggarkan berkapasiti untuk menyuntik sebanyak 3,000 dos sehari.

“Satu lawatan dan perbincangan dengan CITF Persekutuan yang diurussetiakan bersama USIM telah diadakan pada 14 Jun 2021.

“Dengan segala usaha Kerajaan Negeri melalui tindakan yang diambil oleh CITF Negeri dan Pusat, kita menjangkakan dapat menaikkan vaksinasi harian daripada 13,184 orang sehari kepada lebih kurang 19,000 sehari.

“Ini bermakna dalam tempoh sebulan, jika dilaksanakan vaksinasi selama 25 hari, maka vaksinasi boleh dilakukan kepada 480,900 orang sebulan,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, sehingga 15 Jun 2021, seramai 540,345 penduduk Negeri Sembilan telah mendaftar untuk menerima vaksin iaitu 66.3 peratus daripada sasaran.

“Seramai 117,341 orang telah menerima dos pertama dan 67,127 telah menerima dos kedua vaksinasi,” ujarnya.

 

 

Photo Credit: SHRM

Show More

Related Articles

Back to top button