Berita

Kerajaan Negeri Sembilan rakam takziah kepada keluarga mangsa kejadian kebocoran gas ambulans

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mewakili Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok yang meninggal dunia.

“Saya mendoakan semoga keluarga mangsa tabah dan diberi kekuatan menghadapi ujian yang maha berat ini.

“Saya juga mendoakan agar mangsa-mangsa lain segera sembuh dan pulih seperti sediakala.

“Sungguh, jasa para petugas kesihatan amatlah besar terutamanya dalam situasi ‘peperangan’ Covid-19 ini.

“Sama-samalah kita membantu mereka dengan cara mematuhi SOP sebaik mungkin bagi menghentikan penyebaran wabak ini,” kata Aminuddin.

Dalam kejadian pagi Khamis, seorang petugas farmasi KK Bukit Pelanduk meninggal dunia dipercayai terhidu gas bocor di dalam ambulans yang membawa beliau dan tiga rakan setugas ke Hospital Port Dickson.

Menurut Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam; dalam kejadian 9.10 pagi itu tiga petugas membawa seorang rakan setugas mereka yang rebah di KK Bukit Pelanduk ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut dengan menaiki ambulans tersebut.

“Sejurus tiba di Hospital Port Dickson, didapati empat petugas itu pengsan dan salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia.

“Keadaan tiga petugas KK Bukit Pelanduk adalah stabil dan sedang mendapat rawatan rapi di hospital dan pada masa yang sama siasatan ke atas kejadian berkenaan turut dijalankan,” jelas Veerapan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Encik Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki berusia 29 tahun, manakala tiga lagi lelaki yang tidak sedarkan diri berusia 30-an.

 

Foto: Facebook YB Veerapan Superamaniam

Show More

Related Articles

Back to top button