Berita

Kerajaan Negeri sumbang RM1.7 juta untuk pertubuhan Bukan Islam

RM588 ribu diluluskan untuk 55 pertubuhan bagi Fasa 2

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bukan sahaja sentiasa menyalurkan sumbangan kewangan kepada pertubuhan Islam, malah pertubuhan Bukan Islam juga turut mendapat bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri.

Kata Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J.Arul Kumar dalam Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pertubuhan Agama Selain Islam Negeri Sembilan Fasa 2.

Beliau berkata, untuk tahun 2020, Kerajaan Negeri memperuntukan RM1.7 juta untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pertubuhan Keagamaan Bukan Islam dan tempat ibadat di Negeri Sembilan.

“Pada awal bulan Jun 2020, sebanyak RM181,000 telah diberikan kepada 18 pertubuhan bagi Fasa 1.

“Untuk Fasa Kedua, sebanyak RM588,000 telah diluluskan untuk 55 pertubuhan di seluruh Negeri Sembilan.

“Pada hari ini 18 pertubuhan menerima bantuan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM183,000.

“Ini termasuk pertubuhan atau tempat ibadat di Daerah Seremban dan Rembau selain melibatkan DUN Temiang, DUN Bukit Kepayang, DUN Rantau, DUN Seremban Jaya, DUN Chembong dan DUN Kota.

“RM183,000 ini di bawah Fasa Kedua dan sebahagian dari jumlah keseluruhan RM588,000,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, bagi daerah-daerah lain pula, bantuan akan disampaikan dalam masa terdekat.

“Bantuan ini disalurkan sebagai bantuan untuk meringankan beban pertubuhan untuk melaksanakan program dan kerja-kerja menaiktaraf atau membina tempat ibadat yang baru.

“Setiap pemberian ini mengikut permohonan yang dikemukakan oleh pertubuhan tersebut.

“Pada masa yang sama sehingga 06 Ogos 2020,  sebanyak 276 tempat ibadat Bukan Islam di seluruh Negeri Sembilan telah memaklumkan kepada kerajaan Negeri Sembilan berkaitan pembukaan tempat ibadat.

“Setakat pemantauan yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan, hampir semua tempat ibadat Bukan Islam mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujar Arul Kumar.

Arul Kumar juga menjelaskan bagi penganjuran perayaan tahunan ianya dibenarkan tetapi mesti mematuhi bilangan yang diambil kira dengan penjarakkan fizikal 1 meter.

“Pihak tempat ibadat juga perlu memaklumkan kepada balai polis berhampiran berkaitan program yang melibatkan orang ramai supaya semua pihak tahu berkaitan penganjuran program tersebut.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak mematuhi semua SOP dan sentiasa memastikan penjarakkan fizikal,” ujar beliau yang juga ADUN Nilai.

Show More

Related Articles

Back to top button