Berita

Kerajaan Negeri sumbang RM501 ribu sebagai insentif i-Suri

Setiap pencarum i-Suri akan menerima insentif caruman RM540 setahun

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menyumbang RM501,480 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai insentif untuk pencarum i-Suri di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri mencarum sebanyak RM5 sebulan kepada semua suri rumah di Negeri Sembilan yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih).

“Ini ialah kerana, setiap individu yang layak memohon skim i-Suri, haruslah membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan menerima insentif KWSP yang berjumlah RM40 setiap bulan.

“Maka dengan sumbangan ini, semua suri rumah yang berdaftar dengan sistem e-Kasih di Negeri Sembilan layak menerima manfaat skim i-Suri secara automatik.

“Jumlah tahunan yang bakal diterima oleh setiap pencarum adalah sebanyak RM540 (RM480 daripada KWSP dan RM60 daripada Kerajaan Negeri Sembilan).

“Bukan itu sahaja, setiap pencarum juga layak mendapat manfaat sebagai ahli KWSP seperti bantuan khairat kematian (RM2,500) dan juga dividen tahunan,” kata Aminuddin di Majlis Penyerahan Cek Sumbangan i-Suri di Hotel Royale Chulan.

Aminuddin berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu golongan isteri serta ibu tunggal khususnya golongan yang kurang berkemampuan di usia tua kelak.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button