Berita

ADUN Backbenchers Pakatan Harapan Negeri Sembilan berdiri teguh di belakang Aminuddin

Gunasekaran turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan dan penjawat awam

SEREMBAN: Dalam usaha melicinkan lagi sistem penyampaian wakil rakyat Pakatan Harapan bersama pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, telah diadakan Majlis Jalinan Mesra ADUN-ADUN Backbenchers Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar petang kelmarin, ADUN-ADUN Backbenchers telah mengutarakan pelbagai isu rakyat yang berkaitan di DUN masing-masing kepada Aminuddin.

Pengerusi Backbenchers Pakatan Harapan Negeri Sembilan, YB P.Gunasekaran berkata, Aminuddin telah mengambil maklum positif terhadap cadangan, pandangan dan maklum balas yang dikemukakan kepada beliau dalam pertemuan tersebut.

Mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Gunasekaran mengucapkan tahniah kepada Aminuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, anggota Exco Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan seluruh kakitangan Kerajaan Negeri dalam tugas cemerlang berjaya mengawal wabak Covid-19 di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan merupakan kerajaan negeri yang terawal dan terbanyak mengagihkan bantuan kepada golongan B40 yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

“Kami ADUN Pakatan Harapan menerima respon yang sungguh positif dari rakyat di DUN kami yang menghargai dan menyatakan rasa terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri di atas sumbangan kewangan dan bantuan barang makanan ketika PKP Covid-19.

“Kami ADUN Backbenchers Pakatan Harapan yang hadir pada petang ini, juga ingin menyatakan sokongan seratus peratus kepada kepimpinan Dato’ Seri Aminuddin untuk terus mengemudi Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami tetap setia bersama Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan berdiri teguh di belakang Menteri Besar Negeri Sembilan,” kata Gunasekaran.

Gunasekaran juga merakamkan penghargaan kepada Aminuddin, Exco Kerajaan Negeri, pegawai kanan Kerajaan Negeri dan penjawat awam di atas kejayaan mengutip hasil pendapatan pada tahun 2019 yang mencecah RM556.44 juta.

“Ini merupakan kutipan tertinggi dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan melepasi sasaran yang dibajetkan iaitu RM430 juta,” ulas Gunasekaran.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Backbenchers Pakatan Harapan, YB Suhaimi Kassim; ADUN Chennah, YB Anthony Loke Siew Fook; ADUN Port Dickson, Dato’ M.Ravi; ADUN Lobak, YB Chew Seh Yong; ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai; ADUN Mambau, Yap Yew Weng; ADUN Rahang, YB Mary Josephine Prittam Singh; ADUN Chuah, YB Michael Yek Diew Ching dan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohd Khidir Majid.

 

Show More

Related Articles

Back to top button