Aktiviti

Kerajaan PH Negeri Sembilan sumbang RM300 ribu untuk Tabung Peduli Palestin

Aminuddin lancar 'Tabung Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestin'

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun hari ini melancarkan ‘Tabung Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestin’ dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia dan mensasarkan kutipan lebih RM1 juta.

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menyumbang RM300,000 melalui Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sebanyak RM100,000; Pemerbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBI), RM100,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), RM100,000.

“Menginsafi nasib dialami rakyat di bumi Palestin yang terpaksa berdepan dengan kehidupan amat sukar menuntut kita untuk bersolidariti.

“Seperti mana yang diketahui, rejim Zionis sekali lagi melakukan pencerobohan dan serangan ganas ke atas rakyat Palestin, bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa, sejak 7 Mei 2021, diikuti dengan serangan udara tentera rejim Zionis di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei 2021.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengikuti perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin terutamanya serangan-serangan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis,” ujar Aminuddin.

#N9PeduliPalestin

Justeru menurut Aminuddin, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia melancarkan ‘Tabung Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestin’ bagi mengumpul dana bantuan perikemanusiaan untuk rakyat Palestin.

“Sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri Sembilan dengan meletakkan rujukan ‘Palestin’.

“Sebuah platform turut disediakan oleh Global Peace Mission Malaysia khusus untuk rakyat Negeri Sembilan yang ingin menyumbang secara online melalui laman web http://www.pedulipalestin.com/negerisembilan

“Kutipan derma melalui jabatan dan agensi kerajaan, masjid dan surau juga akan digerakkan bagi memastikan setiap rakyat di Negeri Sembilan berpeluang untuk turut serta membantu rakyat Palestin.

“Seluruh rakyat Negeri Sembilan dipelawa untuk menaikkan tanda pagar sokongan #N9PeduliPalestin di semua platform media sosial,” kata Aminuddin.

MY Aqsa Defenders mengutip dana RM17.5 juta dalam seminggu

Sementara itu, Ketua Pegawai Ekskutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Global Peace Mission Malaysia bersama 15 lagi NGO di bawah gabungan yang dikenali ‘My Aqsa Defenders’ telah mengumpul dana sebanyak RM17.5 juta dalam masa seminggu.

“Kita mensasarkan RM10 juta, Alhamdulillah dalam masa seminggu kita berjaya mengumpul dana bantuan untuk rakyat Palestin sebanyak RM17.5 juta.

“Bagi pihak Global Peace Mission Malaysia dan My Aqsa Defenders, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Aminuddin di atas inisiatif beliau melancarkan dan menggerakkan kempen ‘Tabung Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestin’ ini,” ulas Ahmad Fahmi.

Turut hadir Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, YB Teo Kok Seong dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Khidir Majid; Pengerusi MAINS, Dato’ Dr.Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zaidi Ramli.

 

Show More

Related Articles

Back to top button