Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan tawar 53 inisiatif Belanjawan 2021

Bajet 'Merangsang Ekonomi, Memperkasakan Rakyat' fokus lapan bidang tumpuan

SEREMBAN: Kedudukan rezab yang kukuh sebanyak RM1.02 bilion, membolehkan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menawarkan 53 inisiatif dalam Belanjawan 2021 kepada rakyat Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2021  di Dewan Undangan Negeri hari ini berkata; peruntukan perbelanjaan tahun 2021 sebanyak RM560 juta.

Belanjawan yang bertemakan ‘Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ ini menggariskan empat strategi yang akan direalisasi melalui 53 inisiatif yang merangkumi 22 inisiatif sedia ada dan 31 inisiatif baru dengan memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, institusi adat dan pentadbiran.

Ekonomi rakyat

“Kerajaan Negeri amat sedar dan memahami penderitaan yang sedang dilalui oleh sebahagian besar masyarakat khususnya golongan B40 yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ini.

“Kelompok ini harus dibantu untuk mengupayakan semula ekonomi menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi rakyat bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan yang terjejas.

“Untuk maksud itu, sebanyak RM13.75 juta diperuntukkan untuk bidang tumpuan ini meliputi pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam bentuk remisyen cukai, fasiliti kredit dan geran kewangan untuk usahawan dan bakal usahawan, penjaja dan galakan pengeluaran agro makanan,” kata Aminuddin.

Pendidikan

Menurut Aminuddin, sebanyak RM9.9 juta diperuntukkan di bawah bidang pendidikan yang merangkumi bantuan kewangan bulanan kepada pelajar, peluang peningkatan tahap pendidikan, penyediaan fasiliti dan budaya ilmu serta kenaikan elaun Guru KAFA.

Kebajikan

“Selain daripada menumpukan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat dan pendidikan, aspek kebajikan juga merupakan salah satu agenda penting yang menjadi keutamaan dalam pentadbiran negeri.

“Sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan di bawah bidang kebajikan yang merangkumi tujuh inisiatif seperti bantuan peralatan perubatan dan tabung bantuan haemodialisis, tambahan elaun bantuan am, Khairat Kematian dan Hibah Takaful, food bank dan rumah transit untuk gelandangan,” ujar Aminuddin.

Pemerkasaan Komuniti

Agenda pemerkasaan komuniti juga mendapat tumpuan Kerajaan Negeri, dengan pelbagai inisiatif dan program yang bersifat community based melangkaui sempadan bangsa dan agama sekali gus mengatasi jurang sosial yang wujud di antara kelompok masyarakat.

Oleh itu, sebanyak RM21.09 juta diperuntukkan di bawah bidang keutamaan ini bagi membiayai sembilan inisiatif yang terdiri daripada geran aktiviti program MPKK, Bas percuma, Desa Muafakat NS,  Program Rumah Harapan Rakyat,  penyelenggaraan perumahan awam, penyelenggaraan perumahan swasta, penyelenggaraan 16 taman rekreasi awam, pemasangan LED billboard dan ERAT@NS.

Belia dan Wanita

Untuk bidang belia dan wanita, sebanyak RM4.91 juta diperuntukkan bagi program dan aktiviti pembangunan serta kebajikan para belia dan wanita melalui pemberian geran dan bantuan.

Kerohanian dan Agama

“Sebanyak RM6.32 juta disediakan untuk pembangunan fizikal, sumber daya insan dan juga pemberian elaun kepada bilal, siak dan pembantu am wanita.

“Selain itu, peruntukan turut disediakan untuk membiayai perbelanjaan di bawah hal ehwal bukan Islam dan perolehan mesin krematorium (crematorium),” ulas Aminuddin.

Institusi Adat

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan komited untuk terus memperkasakan Adat Perpatih di Negeri Sembilan supaya terus subur di segenap lapisan masyarakat terutamanya di kalangan generasi muda.

Sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program adat, pemberian geran aktiviti serta geran pemuliharaan rumah/bangunan warisan di seluruh Negeri Sembilan.

Pentadbiran

“Bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan Pentadbiran Negeri dari segi kemudahan infrastruktur e-governance, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk urusan pentadbiran secara atas talian yang lebih menyeluruh,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button