Kolumnis

Kerajaan PN gawat, Anwar calon PM terbaik

Mengapa Anwar tidak mendedahkan senarai MP yang menyokong beliau?

Mohd Rashidi Hassan: Tanggal 23 September 2020, Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengejut bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dalam sidang medianya juga, beliau memaklumkan bahawa beliau sudahpun diberi perkenan untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 22 September, bagaimana pun ditangguhkan kerana baginda kegeringan.

Dalam sidang medianya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak memberikan butiran terperinci, selain menegaskan bahawa bilangan sokongan Ahli Parlimen (MP) yang diperolehi adalah kukuh dan meyakinkan.

Serentak dengan pengumuman tersebut, maka timbullah pelbagai andaian dan analogi, dari mana Anwar mendapatkan bilangan tersebut, siapa yang pula yang menyokong Ketua Pembangkang itu.

Masing-masing cuba mencari-cari, ada yang pakat nafi menafi. Ada juga yang mencabar Presiden KeADILan itu mengemukakan senarai; manakala Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak boleh menghalang mana-mana individu Ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar.

Kedudukan PN tidak stabil

Dipertegaskan fakta awal yang harus difahami bahawa, sebaik berlangsungnya majlis angkat sumpah Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti yang meyakinkan.

Beberapa bulan selepas itu Perikatan Nasional (PN) dimaklumkan hanya mampu membentuk kerajaan dengan majoriti yang amat tips. Iaitu pada kedudukan 113 berbanding 109 yang diwakili oleh Pakatan Harapan dan sekutunya.

Dalam masa yang sama, sidang Parlimen sepatutnya berlangsung pada bulan Mei lepas, tetapi dianjakkan kepada bulan Julai, bagi membolehkan Muhyiddin mempunyai cukup masa untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

Bagaimana pun kedudukan mereka tidak berubah. Di sebalik pelbagai promosi dan pujian kononnya Muhyiddin popular dalam mengemudi isu wabak Covid-19, kedudukan kerajaan terus kritikal.

Dua kali pengundian di Parlimen, PN hanya memperolehi 111 undi sahaja, iaitu ketika menukar Speaker Dewan Rakyat dan penguntukan semula peruntukan kewangan kerajaan.

Sedangkan sejak bulan Mac hingga Julai, Muhyiddin telah membuat banyak usaha, memperbanyakkan kementerian, menambah bilangan menteri dan timbalan, serta menawarkan jawatan GLC kepada ahli-ahli politik.

Tempoh tersebut sepatutnya mencukupi untuk Muhyiddin melebarkan pengaruhnya dan menambah seberapa banyak bilangan Ahli Parlimen kepada Kerajaan PN pimpinannya.

Namun faktanya cukup jelas, selepas tujuh bulan, Muhyiddin tetap tidak popular. Beliau gagal menambah bilangan MP untuk menyokongnya.

Krisis dalaman PN berlarutan

Sejak kerajaan PN terbentuk, Muhyiddin terus ditekan hebat, khususnya parti Umno yang sudah keluar daripada PN. PN sepatutnya sudah jatuh, namun didokong oleh Ahli-ahli Parlimen Umno atas kepentingan tertentu.

Ada banyak faktor yang menyebabkan Umno tidak akan sebulu dengan Muhyiddin dan rakan karibnya Dato’ Seri Azmin Ali.

Pertama, kedudukan parti Bersatu. Bersatu asalnya sebuah parti kecil yang hanya memenangi 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018.

Apabila pemimpin Bersatu berpeluang menjadi Perdana Menteri, ramai Ahli-ahli Parlimen Umno yang keluar dan masuk Bersatu. Justeru bagi Umno, Bersatu adalah musuh politik yang mencuri dan melindungi pengkhianat parti mereka.

Maka Umno tanpa segan silu menegaskan bahawa semua kerusi Ahli Parlimen yang khianat adalah hak untuk mereka dan tidak sesekali akan diserahkan kepada Bersatu.

Kedua, perlantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri. Sebagai parti yang terbesar dalam gabungan asal, Umno merasakan jawatan TPM adalah hak mereka.

Hal ini tidak dipersetujui Muhyiddin. Beliau mahukan Azmin. Umno menolak Azmin, maka diwujudkan empat jawatan Menteri Kanan, dua daripada Bersatu, masing-masing satu daripada Umno dan Gabungan Parti Sarawak.

Itu pun tidak dilihat adil oleh Umno kerana dua Menteri Kanan daripada Bersatu, satunya adalah Dr Radzi Jidin yang tewas kepada Tan Sri Annuar Musa, sebaliknya sebelum ini dilantik Timbalan Menteri (Senator) dalam Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Dua lagi Menteri yang Umno tidak berkenan adalah Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein. Kedua-duanya bukan dari hieraki kepimpinan Umno, mereka tiada jawatan tertinggi dalam Umno, tetapi dilantik oleh Muhyiddin.

Ketiga, hukuman ke atas Dato’ Seri Mohd Najib Razak. Hukuman salah dengan tujuh pertuduhan salahguna kuasa dan rasuah mantan PM itu amat mencabar ‘kejantanan’ Umno.

Hampir seluruh anggota parti itu ‘mengamuk’ dan memaki hamun Muhyiddin.  Mereka mendakwa Muhyiddin ‘membalas tuba’ ke atas jasa Najib yang masih dianggap ‘de-facto’ mereka, untuk menyokong Muhyiddin menjadi PM.

Mereka mahu Muhyiddin berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Najib. Jika Najib menerima nasib malang, bagaimana pula dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan Zahid yang mempunyai berpuluh-puluh kes tuduhan.

Itu belum lagi beberapa pemimpin kanan Umno yang sedang menghadapi pertuduhan mahkamah. Antaranya adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baru bersama isteri beliau yang sedang dituduh ‘memakan’ berjuta-juta rasuah.

Keempat, Muafakat Nasional retak. Umno melihat Muhyiddin melebihkan Pas dan menurut apa sahaja kemahuan Pas, asalkan mereka dapat menyaingi kekuatan Umno.

Untuk rekod, pada PRU 2018, Umno merupakan parti paling banyak menang kerusi Melayu dengan jumlah 54 kerusi. Umno mahu terus mendominasi kerusi Melayu, manakala Bersatu dan Pas juga bersaing di ‘battlefield’ yang sama.

Semarah mana pun Umno, Bersatu dan Pas terhadap DAP, mereka tidak mampu meletakkan calon di kawasan majoriti Cina. Hakikatnya DAP hanya boleh digugat jika MCA atau Gerakan mempunyai calon yang kuat.

Oleh kerana gabungan Bersatu dan Pas dalam PN telah menggugat MN, maka Umno tidak mahu langsung ‘memberi muka’ kepada Bersatu dan Pas, kerana mereka boleh ‘merampas’ kedudukan Umno dari kuasa orang Melayu. Mahu tidak mahu Umno terpaksa menarik ‘handbrake’ dengan Bersatu, jika tidak kuasa mereka akan pupus.

Kelima, calon PM. Umno bergabung dengan Pas dalam MN kerana hendak kembali berkuasa. Umno mendesak Muhyiddin membubarkan Parlimen kerana mahu kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri.

Umno sudah nampak peluang itu ada, sejak bergabung dengan Pas dalam MN. Tambahan pula ada beberapa siri Pilihan Raya Kecil berjaya dimenangi oleh BN sejak zaman PH memerintah lagi.

Namun setelah PN terbentuk, Umno terasa Pas sudah mengkhianati mereka. Pas sudah ‘melekat’ dengan Bersatu. Pas punyai strategi yang licik. Mereka lebih rapat dengan Muhyiddin dan Azmin, berbanding Umno. Walaupun hubungan akrab Pas-Umno dibentuk sejak Najib menjadi PM, namun demi mendapat kuasa, Pas sudah mula ‘meninggalkan’ Umno sendirian. Krisis ini menjadi lebih serius apabila Pas tanpa segan silu, tanpa merujuk Umno sebagai rakan ‘tahaluf’, mengisytiharkan jika Parlimen dibubar, maka Muhyiddin adalah calon PM mereka.

Justeru apa nak jadi kepada muafakat yang dibentuk Umno-Pas? Bagaimana mereka hendak berbahagi kerusi sedangkan semua parti ini adalah parti Melayu yang hanya boleh bertanding di kawasan Melayu?

Umno secara terbuka menolak Muhyiddin sebagai calon PM. Tambahan pula Azmin dengan Zuraida Kamarudin yang langsung tidak wujud dalam senarai untuk mereka sepakati bagi PRU-15 nanti.

Pendek kata, semua fakta yang dirumuskan di atas, membuktikan bahawa PN dan sekutunya sudah kebuntuan. Mereka tidak boleh sepakat, selama tujuh bulan kerajaan pimpinan Muhyiddin celaru dan tidak stabil.

Jalan keluar dari kemelut ini hanya dua cara. Pertama, membubarkan Parlimen, atau kedua, membenarkan PH kembali memerintah di bawah kepimpinan yang baharu.

Jika tangguh lagi, negara tidak akan stabil, Covid-19 tidak mampu ditanqani, malah lebih buruk apabila ekonomi akan terus meleset akibat kepimpinan negara yang lemah dan berantakan.

Adakah Anwar mempunyai bilangan?

Inilah persoalan yang sering ditanya sejak Ahli Parlimen Port Dickson tersebut melontarkannya dalam sidang media beliau di Le Meridien Kuala Lumpur.

Mengapa Anwar tidak mendedahkan senarai MP yang menyokong beliau? Jawapannya mudah. Jika didedahkan, ia akan membuka peluang kepada ‘hunter’s untuk berburu.

Dalam politik Malaysia ada banyak istilah yang berkaitan. Amalan ‘politik wang’ sudah lama berleluasa. Amalan memberi ‘dedak politik’ tidak lagi menjadi rahsia. Pokoknya semua bentuk pujukan, sogokan dan rasuah, boleh menjadi kelaziman bagi pihak yang mahu terus berkuasa.

Ringkasnya, nama-nama tersebut adalah rahsia untuk dipersembahkan kepada YDP Agong. Hanya Tuanku sahaja yang perlu melihat senarai tersebut dengan alasan yang munasabah mengapa kerajaan Muhyiddin sudah jatuh.

Urusan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan As-Sultan Abdullah adalah urusan rasmi. Tiada sebab untuk beliau membawa sokongan palsu atau cerita donggeng apabila menghadap Ke Bawah Duli Tuanku.

Sokongan yang beliau perolehi tidak harus diragui kesahihannya dan usaha beliau untuk membentuk Kerajaan adalah amat wajar.

Semoga Allah Selamatkan Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button