Berita

Kerja-Kerja pemuliharaan sungai di Ampangan telah bermula

Bagi mengatasi kejadian banjir daripada berulang

AMPANGAN: Kerja-kerja pemulihan sungai bagi mengatasi kejadian banjir di Ampangan telah bermula,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek.

Mohamad Rafie berkata, permasalahan banjir di Ampangan tidak akan selesai kecuali jika kita mengambil langkah memulihara sungai dan membaiki sistem perparitan di kawasan perumahan terbabit.

“Alhamdulillah, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mula melaksanakan beberapa kerja pemulihan bagi mengatasi kejadian banjir daripada berulang seperti berikut:

1. Kerja-kerja pemuliharaan Sungai Batang Penar di Kampung Jiboi telah bermula sejak 24 Mei 2022 yang lalu untuk selama 16 minggu sepanjang lima kilometer.

2. Kerja-kerja memulihkan saliran dan kerja-kerja berkaitan di Kampung Paroi telah bermula pada 9 Mei 2022 sehingga 25 Julai 2022 sepanjang sembilan kilometer.

3. Kerja-kerja pengeluaran pasir sungai sepanjang lima kilometer di Sungai Linggi di dalam Program Timbal Balik dijangka dimulakan pada akhir Jun 2022.

“Langkah-langkah pemuliharaan sungai di atas hanya langkah awal kerana keseluruhan sungai khususnya Sungai Linggi sepanjang 83.5 km bermula dari hulu sungai sehingga muara sungai juga perlu dilebarkan, didalamkan dan dipulihara.

“Untuk sistem perparitan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah melakukan kerja pembersihan longkang di kawasan Kampung Ismail pada 12 Mei 2022.

“Kerja-kerja pembersihan telah dilakukan mengikut jadual dan longkang bebas dari sebarang halangan,” jelas Mohamad Rafie.

Menurut Mohamad Rafie lagi, pemantauan semasa kejadian banjir mendapati air sungai yang tinggi menyebabkan air longkang tidak dapat keluar ke sungai sekaligus menyebabkan kawasan tersebut banjir.

“Insya Allah, kerja-kerja mendalamkan sungai akan membantu mengurangkan kemungkinan berlaku banjir di kawasan ini.

“JPS juga telah mengemukakan satu permohonan baharu bagi tahun 2023 yang telah dipohon kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mempertimbangkan satu Program Pengurusan Banjir Khas di Kampung Ismail bagi meneliti isu penyelesaian banjir di kawasan tersebut dengan anggaran kos sebanyak RM5 juta,” kata Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button