Berita

Kerja mendalamkan Sungai Linggi sedang berjalan untuk atasi banjir

RASAH: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sedang mengambil tindakan segera untuk mengawal kejadian banjir dari berulang di Taman Happy Garden dan Kampung Dato’ Mansor.

Dalam sidang media yang diatur Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin di Taman Happy Garden (berhampiran Sungai Linggi) pagi tadi; Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Seremban, Encik Saiful Zakuan Mohamad berkata, kerja-kerja mendalamkan Sungai Linggi sedang giat dijalankan.

“Sebagai tindakan jangka masa pendek, kita telah memulakan kerja mengorek pasir untuk mendalamkan Sungai Linggi.

“Kerja mengorek pasir dan mendalamkan sungai ini bermula dari Taman Happy Garden hingga Kampung Dato’  Mansor, sepanjang satu kilometer.

“Kita mahu melancarkan aliran air sungai yang lalu di bawah jambatan (Taman Happy Garden).

“Untuk jangka masa sederhana, kita tunggu peruntukan untuk meninggikan ban (tebing konkrit) lebih kurang dua kaki untuk mengelakkan limpahan,” kata Saiful Zakuan.

Cha harap kejadian banjir tidak berulang

Sementara itu Cha berkata, rata-rata mangsa banjir hargai bantuan yang dihulurkan oleh wakil rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Tetapi mangsa banjir mahu tindakan diambil agar kejadian banjir tidak berulang.

“Saya juga bangkitkan isu banjir ini di parlimen. Jawapan menteri tidak menyatakan tindakan jangka pendek.

” Hanya mengatakan tindakan jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” ujar Cha.

Cha berkata, beliau tidak ada masalah dengan langkah jangka masa panjang tetapi kecewa kerana tiada penjelasan diberi untuk tindakan jangka masa pendek.

“Apa pun saya ingin merakamkan penghargaan kepada JPS Seremban yang sedang berusaha mengatasi masalah banjir ini dengan mendalamkan Sungai Linggi,” kata Cha.

Turut hadir, ADUN Rahang, YB Mary Josephine; ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon dan ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren.

Show More

Related Articles

Back to top button