Berita

Keselamatan makanan, tanggungjawab bersama,” Veerapan

Selamat Hari Keselamatan Makanan Sedunia disambut bertemakan Keselamatan Makanan di Pasar (Safe Food in Markets).

Tema pasar dipilih kerana ianya merupakan tempat utama orang ramai mendapatkan sumber bekalan bahan mentah dan makanan.

Keselamatan makanan pada amnya merupakan proses kawalan bagi memastikan makanan bebas daripada pencemaran mikroorganisma, kimia, fizikal dan radiasi yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, sekali gus menyebabkan jangkitan penyakit bawaan makanan.

Sehubungan itu, Hari Keselamatan Makanan Sedunia dengan slogan ‘Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama’ disambut hari ini di seluruh dunia selepas diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hari ini diisytiharkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sedunia di samping menggesa kita untuk mengambil tindakan sewajarnya mengenai isu keselamatan makanan.

Dengan adanya Hari Keselamatan Makanan Sedunia, ia menarik perhatian dan memberi inspirasi kepada semua pihak dalam mencegah, mengesan serta menguruskan risiko penyakit bawaan makanan.

Veerapan berkata, di Malaysia, kerajaan memberikan tanggungjawab memantau keselamatan makanan yang dijual di pasaran termasuk yang diimport dan dieksport kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

“Masyarakat tidak usah panik apabila berdepan dengan perkara-perkara berkaitan keselamatan makanan. BKKM sentiasa memantau isu keselamatan makanan supaya makanan yang diambil terjamin,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri yang terdekat.

Selamat Menyambut Hari Keselamatan Makanan Sedunia.

Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama.

YB Veerapan Superamaniam,
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan,
ADUN Repah,
Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan.

07 Jun 2021

Show More

Related Articles

Back to top button