Berita

Krisis Covid 19 menyatukan rakyat NS

ANALISA: Tiada siapa sangka, dalam keghairahan merasai Revolusi 4.0 dan menanti Revolusi 5.0, dengan sistem kesihatan dan perubatan yang semakin hari semakin baik, para saintis mencipta penawar untuk pelbagai penyakit, pakar perubatan menemui kaedah pembedahan yang lebih canggih dengan kadar peratusan kejayaan yang lebih tinggi; tiba-tiba dunia digegarkan dengan sebuah wabak maut iaitu  Covid 19 (Coronavirus).

Ketika analisa ini ditulis, lebih 3.42 juta manusia secara kumulatif disahkan positif Covid 19 di seluruh dunia yang menyebabkan 244, 581 kematian. Di Malaysia pula, 103 kematian direkodkan.

Menelusuri sejarah wabak pandemik, Covid 19 merupakan wabak pandemik terburuk sejak 102 tahun yang lepas, iaitu selepas Spanish Flu yang menyebabkan lebih 50 juta kematian di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun dari tahun 1918 hingga tahun 1920. Lebih 500 juta manusia dijangkiti wabak Spanish Flu pada ketika itu. Walaupun wabak tersebut dipanggil Spanish Flu, ia bukan berasal dari Sepanyol.

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang diterajui oleh Dato’ Seri Aminuddin Harun  kini menghadapi cabaran paling getir apabila menghadapi wabak Covid 19.

Kredit harus diberikan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan atas langkah proaktif dan pantas dalam menghadapi wabak Covid 19 di bumi Adat Perpatih ini.

Di kala rakyat baru hendak memikirkan dugaan menghadapi Covid 19 dan belum sempat meminta bantuan dari kerajaan, Negeri Sembilan menjadi negeri yang pertama mengumumkan insentif bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban rakyat yang berpendapatan  rendah, malah lebih laju mendahului Kerajaan Pusat.

Sebagai kerajaan negeri sudah tentu sumber pendapatannya tidak banyak seperti kerajaan pusat dan Negeri Sembilan tidak kaya seperti Sarawak, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang. Namun, dengan konsep yang diamalkan oleh Dato’ Seri Aminuddin – ‘hasil yang dikutip dari rakyat, dipulangkan semula kepada rakyat’, beliau telah mengumumkan pelbagai inisiatif khas untuk meringankan beban kewangan rakyat Negeri Sembilan yang berpendapatan rendah pada 18 Mac 2020, seterusnya penambahan pelbagai lagi insentif pada 26 Mac 2020.

Penulis memperincikan sebahagian daripada insentif yang diumumkan oleh Dato’ Seri Aminuddin dan telah dilaksana sejak sebulan yang lepas:

  1. Bantuan keperluan asas sebanyak RM3.0 juta berbentuk barangan keperluan harian kepada individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan harian akibat COVID-19.
  2. Memberi bantuan RM3.00 juta kepada peniaga kecil atau penjaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kadar RM300.00 seorang.
  3. Memberi bantuan RM1.00 juta kepada pemandu teksi/kereta sewa/e-hailing Negeri Sembilan yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan kadar RM300.00 seorang.
  4. Tambahan peruntukkan sebanyak RM5.00 juta ke Akaun Amanah Permasalahan Rakyat tertakluk kepada keperluan sebenar bagi bantuan keperluan asas kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja harian yang pendapatannya terjejas akibat COVID-19.
  5. Memberi bantuan RM0.50 juta kepada pesakit COVID-19 Negeri Sembilan dan ahli keluarganya sebanyak RM 500.00/keluarga.
  6. Tambahan sebanyak RM1.0 juta untuk bantuan keperluan kepada petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) COVID-19 di Negeri Sembilan.
  7. Pengecualian Sewa PPR berjumlah RM1.24 juta bagi Bulan Mac dan April dengan anggaran RM124.00 sebulan/rumah.
  8. Memperuntukkan RM2.00 juta untuk keperluan-keperluan lain (kontigensi) semasa penularan COVID-19.
  9. Melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah daripada 31 Mei 2020 kepada 31 Julai 2020 tanpa dikenakan bayaran denda lewat.
  10. Bayaran Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diawalkan supaya dapat dibelanjakan untuk kegunaan harian.

Jumlah keseluruhan peruntukan bagi inisiatif-inisiatif di atas untuk menangani krisis COVID-19 adalah berjumlah RM16.74 juta dan memberi manfaat kepada lebih 100, 000 orang.

Sangat jelas, dengan pelaksanaan pelbagai insentif di atas, ianya secara langsung mendekatkan lagi rakyat Negeri Sembilan dengan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan. Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban kewangan rakyat Negeri Sembilan.

Maklum balas dari kenalan, kepimpinan akar umbi dan individu-individu yang menerima bantuan itu sendiri, didapati rata-rata penerima yang mendapat manfaat daripada insentif tersebut melahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih  kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam konteks menghadapi krisis Covid 19 di peringkat Negeri Sembilan, penulis cuba melihat Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan dari satu lagi sisi pandang. Sebagai kerajaan negeri yang masih di peringkat ‘bayi’ yang mentadbir kurang dua tahun, dengan mengambil kira inisiatif atau pencapaian yang penulis senaraikan di atas, adalah tidak keterlaluan jika disimpulkan Dato’ Seri Aminuddin sedang mengemudi Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di landasan yang betul dan ke arah kejayaan yang lebih besar.

Segala usaha dan cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri ketika ini sebenarnya mematangkan lagi ‘pasukan’ pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin.

Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ‘frontliners’ yang berhempas pulas sedang berjuang dalam kapasiti masing-masing dalam usaha membebaskan Negeri Sembilan dan Malaysia bebas dari wabak Covid 19.

Terima kasih kepada organisasi bukan kerajaan dan syarikat korporat yang turut mendokong usaha Kerajaan Negeri dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan ‘frontliner’.

 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button