Berita

Kuala Pilah bakal dapat kompleks pentadbiran Agama Islam bernilai RM4.35 juta

Kompleks baru ini dijangka siap pada 13 Julai 2021

KUALA PILAH: Umat Islam di daerah Kuala Pilah bakal mendapat sebuah kompleks pentadbiran pejabat Agama Islam yang baru menggantikan Kompleks Pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Pilah yang sedia ada, bagi memenuhi keperluan umat Islam setempat yang semakin bertambah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek Kompleks Pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah yang bernilai RM4,351,857 ini melibatkan pembinaan satu blok bangunan pejabat dua tingkat, pondok pengawal, Rumah Sampah dan bangunan sub-station TNB.

“Projek pembinaan kompleks ini telah dimulakan pada 11 Mac lepas dan dijadualkan siap pada 13 Julai 2021.

“Hanya kerja-kerja pembersihan sahaja yang sempat dijalankan sehinggalah semua kerja diberhentikan akibat Pandemik Covid-19 yang melanda.

“Kompleks ini akan berfungsi sebagai pusat untuk segala hal yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di dalam daerah Kuala Pilah.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan serta mengukuhkan lagi sistem penyampaian dan penawaran perkhidmatan hal ehwal Islam kepada rakyat Kuala Pilah,” kata Aminuddin selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah.

Aminuddin berkata, pembinaan kompleks ini nanti diyakini akan dapat memperteguhkan ukhwah di kalangan umat Islam dan seterusnya menjadikan kompleks ini sebagai pusat pengembangan syiar Islam dari sudut pendidikan Islam, dakwah, perlaksanan Undang-Undang Keluarga Islam, penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah, pembangunan ummah, kaunseling dan sebagainya di daerah Kuala Pilah.

“Projek seumpama ini adalah merupakan salah satu daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan infrastruktur yang berkualiti kepada rakyat di Negeri Sembilan khususnya penduduk di Kuala Pilah.

“Lokasi projek yang amat strategik iaitu di laluan utama Jalan Kuala Pilah – Batu Kikir bersebelahan Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Pilah diyakini dapat membina kekuatan agensi Islam dengan berkolaborasi bersama agensi kerajaan yang lain dalam memartabatkan syiar Islam dalam daerah Kuala Pilah dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan Akta Hal Ehwal Agama Islam dengan lebih terperinci, tersusun dan berkesan,” ujar Aminuddin lagi.

Kontrak pembinaan kompleks ini telah dianugerahkan kepada kontraktor MZA Teguh Jaya (Kelas G5).

Kredit Foto: Nabil Syafiq

#NegeriSembilanBersihMufakatSejahtera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close