Berita

Ladang ternakan ayam diberi tempoh tujuh hari bersihkan sistem kumbahan,” Bakri

GEMENCHEH: Exco Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato’ Bakri Sawir telah mengadakan satu operasi mengejut ke sebuah ladang ternakan ayam di Air Kuning Selatan di sini petang kelmarin.

Bakri berkata, operasi ini diadakan selepas menerima aduan dari Penyelaras DUN Gemencheh, Tuan Abd Latif A.Tambi berhubung masalah pencemaran air Sungai Air Kuning yang dipercayai berpunca dari sebuah ladang ternakan ayam.

“Operasi mengejut ini diadakan selepas menerima aduan bahawa ladang ternakan ayam ini melepaskan air sisa kumbahan ke dalam parit dan anak air yang menyebabkan pencemaran air Sungai Air Kuning.

“Hasil lawatan ini kita mendapati memang berlaku pengaliran air sisa kumbahan dari ladang ternakan ayam ke dalam parit dan anak air.

“Pemilik ladang ternakan ayam ini telah diberi tempoh tujuh hari untuk membersihkan dan menambah baik sistem kumbahan,” kata Bakri.

Bakri berkata, pemilik didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (EKPPUABPU 1996), kerana melepaskan sisa kumbahan unggas ke dalam sungai, parit, anak air dan lain-lain.

“Jabatan Veterinar Negeri Sembilan akan mengadakan lawatan susulan ke ladang ternakan ini selepas tempoh tujuh hari berakhir.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil pada pemilik ladang jika tidak melakukan penambahbaikan,” ujar Bakri.

Turut serta dalam operasi ini Pengarah Veterinar Negeri Sembilan,  Dr. Redzuan Ibrahim; pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Majlis Daerah Tampin dan Pejabat Daerah Tampin.

Sementara itu Abd Latif mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi MPKK Kampung Air Kuning, Encik Ah Sang dan Pengerusi MPKK Kampung Parit Buluh, Encik Aziz Khamis yang peka dengan isu alam sekitar di Gemencheh.

Show More

Related Articles

Back to top button