Berita

Lantikan Pegawai Perubatan ke perkhidmatan tetap perlu didasari atas merit

Kita perlu bakat terbaik dan cemerlang

SEREMBAN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, Pegawai Perubatan Kontrak yang dilantik ke perkhidmatan tetap perlu didasari dengan pengalaman, kebolehan, bakat yang terbaik serta cemerlang prestasi; dan tidak berdasarkan mana-mana kriteria lain.

“Sebagai profesional di sektor perubatan, kita memerlukan bakat terbaik dan cemerlang untuk melayani (merawat) rakyat dan bakat seperti itu terdapat dalam semua kaum, agama, kepercayaan dan jantina.

“Semua doktor dilatih untuk memperlakukan setiap pesakit secara sama rata, tidak kira bangsa, agama, kepercayaan dan status sosio-ekonomi,” katanya.

Veerapan berkata demikian, mengulas keratan sebuah akhbar bertajuk ‘Teliti semula urusan pengambilan pegawai perubatan’ baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia harus menyatukan rakyat

Menurut Veerapan, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil maklum mengenai pandangan yang dikemukakan oleh Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia supaya kerajaan meneliti semula pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan Malaysia harus memimpin dalam menyatukan rakyat, bukan mewujudkan perselisihan dalam kalangan profesional.

“Kerajaan harus mengutamakan sifat kesamarataan dalam layanan perkhidmatan kepada rakyat tanpa amalan diskriminasi.

“Saya ingin mengutarakan hal ini bagi mengelakkan kecurigaan terhadap amalan diskriminasi tersebut, dan ingin menyarankan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat kriteria penilaian yang telus berdasarkan merit,” kata Veerapan yang juga ADUN Repah.

Veerapan berkata, sumbangan semua doktor di Malaysia harus dihargai terutamanya dalam situasi menghadapi wabak Covid-19 ini.

Show More

Related Articles

Back to top button