BeritaProgram

NSCA mahu bangunkan kontraktor kecil dan sederhana Negeri Sembilan

SEREMBAN: NS Capital Advance Sdn Bhd (NSCA) mahu membangunkan seramai mungkin usahawan kecil dan sederhana, yang kemudiannya mampu menyediakan peluang pekerjaan yang berdaya maju kepada anak Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSCA, Ybhg Dato’ Romli Ishak berkata, NSCA mensasarkan seramai 200 kontraktor kecil dan sederhana Negeri Sembilan dapat dibantu dalam tempoh dua tahun dengan pusingan modal permulaan sebanyak RM5 juta yang akan dikembangkan sehingga RM300 juta.

“Memandangkan NSCA mendaftar sebagai ahli gabungan dalam MFA (Malaysian Factoring Association) dan dengan hubungan baik yang terjalin telah membolehkan NSCA mendapat akses dana melebihi RM300 juta dari kalangan ahli MFA yang telah menyatakan kesediaan untuk menyokong NSCA.

“Ini akan menjadikan skop pembiayaan NSCA tidak hanya terbatas kepada jumlah suntikan dana dari MBI bahkan kita mampu memanfaatkan dana yang lebih besar dari luar.

“Kami yakin dengan ‘team’ yang cekap dan amanah, NSCA mampu menjadi rakan strategik terbaik usahawan kecil dan sederhana Negeri Sembilan bagi memajukan syarikat mereka,” ujar beliau.

Romli berkata, sebagai permulaan NSCA akan menumpukan kepada dua kontraktor utama, anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (State GLC’s) iaitu Negeri Road Stone Sdn Bhd (NRSB) dan Gemencheh Granite Sdn Bhd (GGSB).

“Andai ada permintaan dari pihak lain terutamanya Kerajaan Negeri, Insyah Allah kita bersedia untuk memperluaskan skop pembiayaan kepada kontrator di bawah agensi pelaksana yang lain di peringkat negeri seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban dan pihak berkuasa tempatan lain.

“Sesungguhnya usaha kecil ini diharapkan akan dapat membantu rakyat terutamanya di kalangan usahawan kecil dan sederhana Negeri Sembilan untuk lebih yakin dan berani tampil menunjuk bakat keusahawanan dalam membangunkan ekonomi diri, keluarga dan negeri,” jelas Romli.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melancarkan NS Capital Advance Sdn Bhd di Klana Resort, Seremban pada Jumaat.

NS Capital Advance Sdn Bhd (NSCA) merupakan sebuah anak syarikat Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBI).

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button