Berita

Loke bakal lancar PPV Bergerak di Jelebu, 12 Julai ini

KUALA KLAWANG: Pusat Khidmat Rakyat DUN Chennah telah mengambil inisiatif dengan menyediakan sebuah bas untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Daerah Jelebu.

ADUN Chennah, YB Loke Siew Fook berkata, bas yang telah diubah suai itu akan disewa oleh beliau sebagai satu usaha ‘outreach’ dan memastikan lebih ramai masyarakat khususnya warga emas berusia 60 tahun ke atas di kawasan luar bandar dapat mendaftar dan menerima suntikan vaksin.

Inisiatif yang akan bermula pada 12 Julai nanti, akan mendapat kerjasama daripada Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Jelebu yang sekaligus dijangka mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin dalam kalangan penduduk di daerah ini.

“Di Jelebu, masih ramai tidak mendaftar kerana saiz kampung di sini kebanyakkannya agak kecil dan kedudukan pula berterabur.

“Ramai lagi warga emas yang belum mendaftar, jadi saya rasa program ‘outreach’ di Jelebu ini perlu untuk maklumat sampai kepada mereka.

“Oleh itu, saya menyumbang sebuah bas khas yang disewa, yang akan dijadikan sebagai PPV Bergerak di tiga buah DUN di daerah ini iaitu DUN Chennah, DUN Klawang dan DUN Pertang.

“Ia akan bergerak setiap hari ke lokasi berlainan agar mereka yang belum mendaftar khususnya warga emas, boleh menerima suntikan vaksin pada hari itu juga,” jelas Loke.

Loke berkata demikian selepas meninjau operasi PPV di Dewan D’Sury, Kuala Klawang. Hadir sama, ADUN Klawang dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir.

Menurut Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, PPV Bergerak itu akan berada di kawasan perkampungan yang tidak mempunyai kemudahan dewan ataupun balai raya dengan sasaran 500 dos suntikan vaksin diberikan dalam tempoh seminggu.

“Program ini akan berjalan dalam tempoh enam minggu iaitu lengkap dua dos vaksin melibatkan lebih kurang 1,500 penduduk,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button