Aktiviti

Loke dan Ng beli juadah bazar Ramadhan bantu peniaga

Makanan yang dibeli diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan di Temiang

SEREMBAN: Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban dan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Temiang telah berkerjasama menganjurkan satu program membeli juadah berbuka puasa daripada peniaga-peniaga Bazar Ramadan Taman Sri Pulai 3, Temiang.

Ahli Parlimen Seremban, YB Loke Siew Fook berkata, terdapat 30 gerai di Bazar Ramadan Taman Sri Pulai 3. Bazar Ramadan ini beroperasi setiap kali datangnya bulan puasa sejak 10 tahun lepas.

“Pembelian ini membabitkan kesemua gerai yang ada di sini bermula dari 3 Mei hingga 7 Mei.

“Saya berharap usaha ini boleh membantu para peniaga gerai mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan harian dan persiapan menjelang Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi,” kata Loke.

ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai pula berkata program ini adalah salah satu usaha untuk mempromosikan juadah yang dijual oleh peniaga terbabit.

“Para peniaga mencari rezeki dengan menjual jenis kuih dan makanan yang tersendiri. Dengan ada usahanya sebegini, saya berharap ianya dapat memberi sokongan dan semangat kepada peniaga dan seterusnya meringankan beban kehidupan harian mereka.

“Makanan yang dibeli ini akan diagihkan oleh MPKK Kampung Bukit Temiang dan MPKK Kampung Bukit Merbah kepada keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar kawasan Temiang secara percuma,” jelas Ng.

Show More

Related Articles

Back to top button