Berita

Aminuddin: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa meningkatkan syiar Islam

Empat buah masjid lagi akan dibina

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan telah berjaya menyiapkan pembinaan dua buah masjid pada bulan ini untuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Pembinaan Masjid Teriang dengan kos sebanyak RM 1.9 juta telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada JHEAINS pada Rabu minggu lepas, manakala sebuah lagi masjid yang telah siap dibina iaitu Masjid Taman Desa, Port Dickson bernilai RM 2.3 juta akan diserahkan kepada JHEAINS pada hari Rabu ini.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Sembilan amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan syiar Islam bagi penduduk di Negeri Sembilan ini khususnya,” kata Aminuddin selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Kerja Ukur Tanah Bangunan dan Jalan serta Projek-Projek Menyenggara Jalan (MARRIS) Negeri Sembilan.

 

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi pelaksana JKR Negeri Sembilan telah melantik sepuluh (10) syarikat jurukur bagi kerja-kerja ukur tanah projek bangunan dan jalan.

“Kerja-kerja ukur tanah tersebut terdiri daripada kerja-kerja ukur untuk empat buah pembinaan masjid dan satu untuk pembinaan Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM) Maahad Ahmadi dan lima syarikat jurukur untuk kerja-kerja jalan.

“Manakala, empat lagi adalah surat suju terima untuk pelantikan kontraktor bagi projek penyenggaraan jalan dibawah peruntukan MARRIS.

“Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada jurukur dan kontraktor terlibat, adalah sebagai menzahirkan kesungguhan dan iltizam Kerajaan Negeri dalam memastikan segala projek infrastruktur negeri dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui JKR Negeri Sembilan juga, akan terus memantau pelaksanaan projek dan memastikan projek-projek yang dijalankan berjaya disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button