Berita

Mangsa kebakaran dapat rumah baru dari Kerajaan Negeri Sembilan

REMBAU: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Seberang Batu Hampar, Mac lalu, menerima rumah baru dari Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang bernilai RM50,000.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kejadian kebakaran di rumah Puan Maimumah Mohd Shah pada 4 Mac lalu, telah mengorbankan nyawa anaknya, Allahyarham Zaidi Zainuddin, 46 tahun.

“Sehubungan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau telah mengambil tindakan segera dengan memohon peruntukan untuk membina sebuah rumah baharu serta memohon rumah transit di Projek Rimbunan Kaseh daripada Bahagian Perumahan SUKNS sebagai penempatan sementara Puan Maimunah.

“Pada 16 Mac lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 di bawah Jawatankuasa Akaun Amanah Permasalahan Rakyat untuk pembinaan rumah baharu Puan Mainunah di tapak sedia ada.

“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 27 April dan siap sepenuhnya pada 7 Julai, iaitu dua minggu lebih awal daripada jadual,” jelas Aminuddin.

Aminuddin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Rembau serta semua agensi yang terlibat dalam membantu Puan Maimunah.

“Semoga bantuan ini meringankan beban yang ditanggung oleh beliau, Insyah Allah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button