Aktiviti

Mangsa kebakaran terima bantuan kewangan dari Nicole Tan

BUKIT KEPAYANG: ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon telah menziarahi dan menyerahkan sumbangan kewangan kepada seorang mangsa kebakaran di Garden Homes, Seremban 2.

Sebahagian rumah Yusoff Bakar musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

“Disebabkan penularan wabak Covid-19, keluarga beliau berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan untuk membaik pulih kerosakan di rumah yang dialami disebabkan kebakaran.

“Siti, isteri kepada Yusof bekerja sebagai pemandu sambilan e-hailing dan Yusof pula hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan membaiki paip.

“Yusoff menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Disebabkan faktor kesihatan, beliau tidak dapat melakukan kerja berat,” kata Nicole.

Nicole berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghulurkan bantuan siasatan awal dan keluarga beliau juga telah menerima bantuan dari Baitumal.

“Namun, kos pembaikan agak tinggi dan diharapkan dengan sumbangan ini, dapat meringankan beban keluarga tersebut,” katanya.

Trend kanak-kanak berniaga di luar membimbangkan

Sementara itu Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, turut mengulas trend kanak-kanak keluar mencari pendapatan semakin banyak.

“Sebenarnya keadaan ini adalah salah walaupun niatnya baik.

“Mereka seharusnya fokus kepada pembelajaran, walaupun tidak perlu ke kelas tetapi pelajar tidak dapat mengejar silibus jika tidak memberi tumpuan pada pelajaran,” ujar Nicole.

Nicole berkata, jika perkara ini berlanjutan, maka keputusan pelajar akan merosot pada masa akan datang.

“Selain itu, keselamatan kanak-kanak juga perlu diutamakan.

“Bayangkan semasa berniaga, sekiranya kanak-kanak tersebut ditimpa kemalangan.

“Janganlah tunggu sampai kejadian buruk berlaku, barulah menyesal.

“Fikirkanlah pelbagai senario sebelum buat keputusan membiarkan anak-anak keluar berniaga,” kata Nicole.

Show More

Related Articles

Back to top button