Berita

Mary dan Veerapan lancar ‘Rak Berkat’ bantu golongan B40

Kerajaan PH Negeri Sembilan memperuntukkan RM100 ribu untuk 'Food Bank'

RAHANG: ADUN Rahang, YB Mary Josephine Prittam Singh melancarkan program ‘Food Bank’ yang juga dikenali sebagai ‘Rak Berkat’ dengan objektif membantu golongan B40 mendapatkan bekalan makanan asas.

Mary berkata, sebagai permulaan, sebuah rak barang yang disumbang oleh Rotary Club ditempatkan di Balai Raya Taman Bukit Chedang 1 dan tiga lagi lokasi di Seremban, Nilai dan Repah.

“Objektif kita ingin membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

“Namun, setiap individu hanya boleh ambil lima jenis barang sahaja dalam tempoh seminggu. Tetapi mereka boleh datang lagi pada minggu seterusnya dan ambil lagi lima jenis barang

“”Barang keperluan dapur yang disediakan di sini adalah seperti beras, gula, minyak, susu, bawang merah, bawah putih, ikan bilis, telur, sardin dan kicap,” jelas Mary.

Mary berkata demikian selepas majlis pelancaran ‘Rak Berkat’ bersama Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam di Balai Raya Taman Bukit Chedang 1.

Mary merupakan Pegawai ‘Food Bank’ Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Mary berkata, dianggarkan seramai 50 individu sekitar Taman Bukit Chedang, Kampung Dato’ Mansor, Kampung Chedang dan Kampung Baru Rasah mendapat manfaat dari program ‘Rak Berkat’ di Taman Bukit Chedang.

‘Rak Berkat’ akan dibuka di semua 36 DUN

Sementara itu Veerapan berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan memperuntukkan RM100,000 untuk menjayakan program ‘Food Bank’ di Negeri Sembilan.

“Sebuah premis bersebelahan dengan Kolej Negeri di Taman Bukit Chedang akan dijadikan sebagai Pusat Pengumpulan Makanan termasuk makanan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran.

“Premis ini perlu diubahsuai untuk menempatkan peti sejuk (fridge) dan peti sejuk beku (freezer).

“Setakat ini kita mempunyai 11 penyumbang makanan termasuk pihak hotel dan pasaraya,” kata Veerapan.

Mary dan Veerapan berkata, konsep ‘Rak Berkat’ di Taman Bukit Chedang ini merupakan projek perintis yang akan dibuka di semua 36 DUN secara berperingkat.

Sementara itu Mary menyumbang RM2,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Chedang 1 untuk menjalankan aktiviti masyarakat.

Show More

Related Articles

Back to top button