Berita

Mas Midyawan jelas rasional tempatkan peniaga di Pusat Penjaja Setempat

Penduduk setempat membuat aduan isu kebersihan dan tapak letak kereta

EKSKLUSIF: Baru-baru ini timbul isu penjaja atau peniaga yang tidak dibenarkan berniaga di tepi jalan. Benarkah penjaja tidak dibenarkan berniaga langsung atau sebenarnya mereka ditempatkan di Pusat Penjaja Setempat? Di media sosial kecaman yang tidak tepat dihalakan kepada Majlis Bandaraya Seremban.

Justeru, Negeri Kita menemuramah Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Encik Mas Midyawan Yahya untuk mengetahui apa sebenarnya perancangan MBS untuk penjaja. Seterusnya maklumat ini boleh dikongsikan untuk tatapan umum dan sekaligus menepis tuduhan yang tidak berasas.

Mas Midyawan berkata, MBS tidak pernah menghalang penjaja dari berniaga, sebaliknya hanya mahu menempatkan semula penjaja ini di satu tapak setempat yang teratur.

“Setiap kawasan pembangunan baru yang keluasannya lebih 10 ekar, MBS mesti sediakan tapak penjaja setempat.

“Sebenarnya tidak boleh mendirikan struktur di atas ‘reserve’ jalan. Kawasan lapang pun tak boleh sebab itu kawasan rekreasi.

“Sebenarnya peraturan ini sudah ada lama, cuma penjaja tidak ikut,” kata Mas Midyawan.

Kenapa dulu tidak ada penguatkuasaan?

Menjawab persoalan sebahagian penjaja yang mempertikaikan kenapa dulu tak ada penguatkuasaan, baru sekarang menguatkuasa peraturan tersebut?; Mas Midyawan menjelaskan aduan berkaitan isu penjaja semakin banyak.

Menurut beliau, gerai didirikan di tempat yang bukan sepatutnya. Penjaja menjadikan gerai sebagai struktur kekal dan masalah kebersihan tidak dapat dikawal.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, penduduk taman perumahan sudah membuat banyak aduan tentang penjaja jalanan.

“Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegur MBS dan meminta penjelasan kenapa MBS tidak ambil tindakan terhadap aduan penduduk tentang masalah penjaja.

“Penduduk taman perumahan mengadu masalah kesukaran letak kereta apabila tapak letak kereta di hadapan deretan kedai diambil oleh penjaja.

“Selain itu isu longkang tersumbat kerana sampah yang ditinggalkan oleh penjaja,” jelas Mas Midyawan.

Pusat Penjaja Setempat lebih teratur, bersih dan selamat

Mas Midyawan berkata, isu keselamatan juga antara faktor utama kenapa penjaja ditempatkan di Pusat Penjaja Setempat.

Ada di sesetengah tempat penjaja mendirikan struktur kekal berdekatan dengan simpang masuk ke taman perumahan. Ini menghalang penglihatan kenderaan keluar masuk di simpang tersebut.

“Justeru, langkah menempatkan peniaga di Pusat Penjaja Setempat adalah demi kebaikan semua pihak termasuk penjaja, penduduk dan pelanggan.

“Di Pusat Penjaja Setempat sistemnya lebih teratur dan bersepadu, kebersihan terkawal dan tiada isu keselamatan,” ujar Mas Midyawan lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button