Berita

Masalah pencemaran bau di Pajam dan Mantin akan berakhir

Ketika ini tahap pencemaran bau telah pun berkurangan

NILAI: ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar yakin masalah pencemaran bau di kawasan Pajam dan Batang Benar dapat diselesaikan sepenuhnya dalam masa terdekat.

Ini berikutan pertemuan beliau dengan pihak pengurusan QL Poultry Farm Pajam, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan wakil penduduk dari Kampung Baru Pajam, Taman Mulia, Kampung Gebok dan Taman Nada Alam Fasa 1 hingga Fasa 5.

Arul Kumar menjelaskan, pada tahun 2018, pihak pengurusan QL Poultry Farm telah mengambil beberapa tindakan untuk mengawal masalah bau yang berpunca daripada kilang memproses telur ayam ini yang terletak di sini sejak lebih 30 tahun yang lalu.

“Sejak kebelakangan ini banyak aduan diterima daripada penduduk Taman Nada Alam berkaitan isu bau ini.

“Lawatan dan taklimat daripada pihak pengurusan QL Poultry Farm hari ini, mendapati beberapa tindakan susulan sedang diambil untuk mengatasi isu ini.

“Salah satu punca pencemaran bau yang teruk sejak akhir-akhir ini adalah kerana simpanan stok baja sisa buangan yang berlebihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Pihak pengurusan QL Poultry Farm sedang cuba mengeluarkan stok baja sisa buangan sekarang dan diharapkan masalah ini dapat diatasi segera.

“Pada masa yang sama, saya pun akan memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak pengurusan QL Poultry Farm untuk meminimumkan bau ini daripada terus menganggu penduduk di Taman Nada Alam,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, pada hari ini tahap pencemaran bau telah pun berkurangan dan penduduk dapat menjalani rutin kehidupan dalam keadaan baik.

“Namun, saya berharap dalam masa terdekat masalah pencemaran bau ini dapat diselesaikan sepenuhnya agar penduduk sekitar dapat hidup dalam keadaan yang lebih  tenteram,” ujar Arul Kumar yang juga merupakan Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Foto: Sugumaran

 

Show More

Related Articles

Back to top button