Berita

MB mahu Sikamat jadi DUN contoh dalam aspek kebersihan

Memerlukan kerjasama penduduk setempat menjaga kebersihan persekitaran

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mahu DUN Sikamat menjadi DUN contoh dalam aspek kebersihan dan pengurusan sampah.

Aminuddin menyeru setiap kontraktor yang diberikan amanah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan agar lebih bertanggungjawab dan komited dalam menjalankan kerja pembersihan mereka.

“Kontraktor yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka, maka tindakan perlu diambil untuk memastikan mereka menjalankan kerja mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Walaupun ada peningkatan dalam tahap kebersihan, namun masih banyak yang perlu dilakukan demi memastikan Sikamat bersih dan bebas sampah.

“Saya berhasrat menjadikan DUN Sikamat sebagai contoh kepada yang lain dalam aspek kebersihan dan pengurusan sampahnya.

“Saya menyeru semua agensi yang terlibat dapat bekerjasama dengan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sikamat dalam memastikan kebersihan di DUN Sikamat dapat ditambah baik.

“Satu perancangan yang tersusun perlu dirangka agar matlamat menjadikan Sikamat sebagai DUN Contoh dapat direalisasikan,” kata Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Aminuddin berkata demikian ketika menpengerusikan satu mesyuarat di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang bertujuan untuk membincangkan masalah kebersihan di DUN Sikamat.

“Hasrat menjadikan Sikamat terbaik dalam aspek kebersihan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk di Sikamat sendiri.

“Mereka perlu menjadikan penjagaan kebersihan ini sebagai amalan kehidupan harian.

“Sikap dan mentaliti membuang sampah merata-rata dan mementingkan diri sendiri perlu diubah.

“Ianya perlu diubah mulai sekarang demi kebaikan kehidupan generasi akan datang.

“Tanpa kerjasama masyarakat, amatlah sukar hasrat ini dapat direalisasikan,” ujar Aminuddin.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Datuk Bandar MBS, YBhg Dato Zazali Salehudin; Setiausaha MBS, Encik Mas Midyawan Yahya; wakil dari SW Corp, Southern Waste Management (SWM), kontraktor pembersihan di DUN Sikamat, semua Pengerusi MPKK DUN Sikamat dan pegawai-pegawai Pusat Khidmat Rakyat DUN Sikamat.

Foto: Team TokMin

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button