Berita

MB: Pengecualian bayaran sewa rumah PPR dan premis niaga PBT

Solat fardhu Jumaat dan solat fardhu berjemaah dibenarkan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pengecualian bayaran sewa rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR), gerai dan pasar di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan dilanjutkan sehingga bulan Mei 2020.   

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, sebelum ini pengecualian bayaran sewa rumah pangsa PPR dan premis perniagaan seperti gerai PBT dan Pasar Besar Seremban telah diberikan selama dua bulan iaitu pada bulan Mac dan April.

“Mengambil kira kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, pengecualian bayaran sewa untuk sebulan lagi, diharapkan dapat meringankan sedikit sebanyak beban kewangan penyewa kediaman dan premis perniagaan ini.

“Pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan ini membabitkan peruntukkan sebanyak RM1 juta,” kata Aminuddin dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban.

Sementara itu Aminuddin juga memaklumkan bahawa Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan membenarkan ibadah solat fardhu Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid dan surau (yang dibenarkan) di Negeri Sembilan.

“Solat fardhu Jumaat akan bermula pada 19 Jun ini, manakala solat fardhu berjemaah akan bermula pada waktu Maghrib pada hari yang sama,” jelas beliau.

Aminuddin turut mengumumkan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha akan dibenarkan untuk diteruskan seperti biasa. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak Jabatan Veterinar Negeri Sembilan.

Turut dimaklum, operasi pasar malam telah mula beroperasi sejak 16 Jun yang lalu dan Kerajaan Negeri menasihatkan agar peniaga serta pengunjung mengamalkan amalan kendiri bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Show More

Related Articles

Back to top button