Berita

MB umum langkah pencegahan depani Covid-19

Bantuan bahan mentah kepada isi rumah yang diarahkan kuarantin melalui JKM

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan beberapa langkah pencegahan mendepani trend peningkatan kes Covid-19.

Aminuddin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 yang diadakan pada 19 Oktober lepas, telah memutuskan beberapa perkara, sebagai langkah tambahan kepada yang telah dinyatakan sebelum ini.

“Semua aktiviti agama Islam khususnya di masjid dan surau boleh berjalan seperti sedia kala dengan mematuhi ketat SOP yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, mana-mana ceramah hendaklah mendapat Kebenaran Penganjuran Program dari Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

“Penceramah atau pentazkirah dari kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19 adalah tidak dibenarkan.

“Penceramah, pentazkirah, guru takmir atau mana-mana individu yang menetap di Negeri Sembilan tetapi bertugas di kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19 adalah tidak dibenarkan,” jelas Aminuddin.

Kedai makan dan kedai serbaneka disaran buka hingga 12 malam sahaja

Menurut Aminuddin, semua majlis pengajian ilmu yang menggunakan dewan, bilik kuliah serta ruang yang berkenaan di dalam kawasan masjid adalah dibenarkan tertakluk kepada SOP Pihak Berkuasa dengan jumlah kapasiti yang telah ditentukan.

Semua sektor ekonomi khususnya melibatkan kedai serbaneka dan kedai makan yang sebelum ini dibenarkan beroperasi hingga jam 2.00 pagi, disarankan untuk beroperasi sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja.

“Syor ini dicadangkan bagi mengawal dan menangani impak penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan dengan menghadkan masa pergerakan masyarakat tanpa menjejaskan perkembangan sektor ekonomi.

“Bagi Daerah Rembau, dipersetujui agar dilaksanakan pemantauan dan pengawalan secara strategik dan bersasar oleh anggota penguatkuasa termasuk PDRM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap lokaliti yang terlibat termasuk kediaman penghuni yang telah dikenal pasti merupakan kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19.

“Pendekatan ini diambil bermula Sabtu, 17 Oktober 2020 bagi mengekang, mengawal dan mencegah penularan wabak ini daripada merebak kepada penduduk setempat yang berhampiran sebagai langkah pencegahan Daerah Rembau menjadi zon merah seperti sebelum ini,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyediakan bantuan bahan mentah kepada isi rumah yang keseluruhannya diarahkan kuarantin melalui JKM.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button