Berita

MB umum sumbangan RM500 kepada mangsa banjir

Beberapa kawasan di Ampangan, Rahang, Mambau, Rantau, Linggi dan Kota dilanda banjir pada 4 November

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengumumkan sumbangan sebanyak RM500 kepada mangsa banjir di DUN Ampangan, Rahang, Mambau, Rantau, Linggi dan Kota.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ini kejadian terburuk sejak berapa tahun lepas dan dianggarkan seribu keluarga terjejas dengan kejadian banjir ini.

“Mangsa banjir mengalami kerosakan harta benda seperti perabot, alat elektrik dan tilam.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku kepada mereka dan saya telah memohon kepada semua ADUN dan Penyelaras DUN memberi bantuan semampu mungkin untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Bantuan akan disampaikan secara terus oleh ADUN dan Penyelaras DUN kepada semua keluarga yang terjejas,” kata Aminuddin.

Aminuddin menjelaskan sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan manakala RM200,000 disumbangkan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan).

Dalam satu majlis ringkas di Pejabat Menteri Besar, Aminuddin menyerahkan sumbangan tersebut kepada ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek; ADUN Rahang, YB Mary Josephine; ADUN Mambau, YB Yap Yew Weng dan Penyelaras DUN Rantau, Encik Mokhtar Ahmad.

Turut hadir, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.

Beberapa kawasan perkampungan dan taman perumahan di Ampangan, Rahang, Mambau, Rantau, Linggi dan Kota, dilanda banjir dalam kejadian awal pagi 4 November lepas.

 

Foto: Facebook Yap Yew Weng, Facebook Mary Josephine dan Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button