Berita

MB ziarah kanak-kanak 21 bulan digigit kera

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menziarahi Adik Nor Afiya Muhamad Nur Issyifa, 21 bulan, yang digigit kera di Taman Dusun Nyior di sini.

“Saya difahamkan kejadian pada 21 September lalu di rumahnya, berlaku begitu pantas dan Adik Nor Afiya mengalami kecederaan di bahagian belakangnya yang menyebabkan beliau menerima jahitan.

“Saya telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada ibu Nor Afiya. Semoga Adik Nor Afiya diberi kesembuhan segera oleh Allah SWT,” kata Aminuddin.

Turut hadir dalam lawatan ini, ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abdul Malek dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun.

Peruntukan RM120,000 tangani isu binatang buas

Aminuddin berkata, susulan kejadian tersebut PERHILITAN telah memasang perangkap dan menangkap kera yang berkeliaran di kawasan berhampiran.

“PERHILITAN turut mengadakan rondaan bagi memastikan tiada lagi gangguan kera di kawasan tersebut.

“Bagi membantu Adik Nor Afiya, Jabatan PERHILITAN Negeri Sembilan turut memohon dana daripada Tabung Serangan Binatang Buas daripada Jabatan PERHILITAN Persekutuan.

“Sebagai tindakan yang lebih luas, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan dana berjumlah RM120,000 kepada PERHILITAN daerah bagi menangani isu binatang buas seperti kera dan babi hutan.

“Insyah Allah, semoga populasi haiwan tersebut dapat dikawal dan insiden berbahaya seperti yang menimpa Adik Nor Afiya dapat dihalang,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button