Berita

MBS garis tiga fasa langkah penyelesaian isu penjaja jalanan

Penjaja yang setuju pindah ke pusat setempat terima insentif one-off RM300

EKSKLUSIF: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sentiasa menyokong sektor perniagaan termasuk segmen penjaja jalanan kerana ia juga membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk Seremban.

Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, pihaknya mempunyai tiga fasa langkah penyelesaian isu penjaja di dalam kawasan Bandaraya Seremban.

Untuk penyelesaian jangka masa pendek (Fasa 1), penjaja jalanan ini akan ditempatkan di Pusat Penjaja Setempat mengikut lima zon setakat ini.

“Terdapat 220 tapak di Zon Senawang, 166 tapak di Zon Seremban 2/Bukit Kepayang, 92 tapak di Zon Bandar Baru Nilai, 60 tapak disediakan di Zon Sikamat dan sembilan tapak di Zon Mantin/Lenggeng/Pantai. Sebanyak 549 lot tapak penjaja disediakan untuk Fasa 1.

“Peniaga yang bersetuju pindah ke pusat penjaja setempat akan menerima insensif one-off RM300 seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun baru-baru ini.

“Selain itu, MBS juga akan menjalankan operasi isi penuh lebih kurang 300 tapak penjaja yang kosong di pasar-pasar basah milik MBS termasuk tiga lot di Pasar Besar Seremban, 10 lot di Pasar Seremban Jaya, empat gerai di Paroi Jaya, tiga lot di Aked Senawang dan 10 lot di Medan Selera Ampangan,” ujar Mas Midyawan.

Proses melesenkan dan mewujudkan rekod penjaja

Mas Midyawan menjelaskan, proses pemutihan dengan melesenkan penjaja juga sedang giat dijalankan, di mana dianggarkan lebih 600 penjaja tak mendaftar sebelum ini.

“Sebenarnya tiada bayaran untuk lesen penjaja. Tidak benar tuduhan di luar sana. Apa yang dikenakan hanyalah caj servis kutipan sampah.

“Ini untuk memastikan kebersihan setempat kerana sebelum ini sampah dibuang di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

“Selain itu kita mahu mewujudkan rekod penjaja. Kita ingin tahu siapa penjaja itu sebenarnya. Ini untuk memastikan lesen penjaja tidak di ‘Alibaba’ kan kepada orang lain atau disewakan kepada warga asing.

“Apabila penjaja dilesenkan, kita juga boleh memastikan adakah penjaja sudah menghadiri kursus kesihatan penyediaan makanan dan menerima suntikan vaksin.

“Semua ini kita buat untuk kebaikan orang ramai, bagi memastikan kebersihan dan kesihatan semua pihak diambil berat,” kata Mas Midyawan.

 

Penyelesaian jangka sederhana dan panjang

Untuk penyelesaian jangka sederhana (Fasa 2) pula, MBS akan membaiki gerai sedia ada di bawah seliaan MBS seperti di Pasar Seremban Jaya dan Taman Semarak, Nilai selain mencari tapak baru penjaja di kawasan tertentu, contohnya di Taman Coral Height dengan konsep lot kontena yang merupakan ‘pilot project’.

Penyelesaian jangka masa panjang (Fasa 3) pula akan memfokus pembinaan gerai baru dan beberapa lokasi telah dikenalpasti termasuk pembinaan gerai baru di hadapan Balai Polis Sikamat.

Mas Midyawan berharap penduduk Seremban dan Nilai menyokong segala usaha MBS dan Kerajaan Negeri yang berusaha melakukan terbaik untuk golongan penjaja mahupun pelanggan (penduduk).

“MBS mahu menjaga kepentingan semua penduduk Bandaraya Seremban, termasuk penjaja dan pelanggan.

“Seterusnya merubah status penjaja Seremban, selaras dengan naik taraf Seremban kepada Bandaraya,” katanya lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button