Berita

MK Ibrahim: Salam Aidiladha 1441 Hijrah

Alhamdulillah, kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah yang amanah.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala nabi
dan rasul yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Ketika ini kita berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat wabak COVID-19. Dalam kita bergembira meraikan Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban, kita mesti terus mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP) PKPP untuk mengawal penularan wabak COVID-19 demi keselamatan serta kesejahteraan bersama.

Suasana politik dalam negara yang tidak menentu disebabkan tindakan khianat pemimpin tertentu tidak seharusnya menyemarakkan api permusuhan dan perpecahan. Kita perlu sentiasa mempamerkan
kematangan dalam berpolitik dalam menggalas amanah dan menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

Allah S.W.T menjadikan perkara ini sebagai ujian, pedoman dan petunjuk supaya kita sama-sama bermuhasabah diri, sentiasa taat dengan perintah Allah dan sanggup berkorban demi untuk meneruskan perjuangan ini.

Perjuangan menuntut pengorbanan dan sifat rahmah untuk memberikan impak yang maksima kepada pembangunan insan serta sahsiah generasi yang bakal mewarisi negeri dan negara ini di masa akan datang.

Justeru itu, Aidiladha yang disambut pada tahun ini menjadi titik tolak untuk kita terus melaksanakan amanah memperkasakan organisasi dan memajukan negeri ini agar kita tergolong di kalangan hamba Allah S.W.T yang dirahmati.

Salam Aidiladha 1441 Hijrah kepada seluruh Warga Negeri Sembilan, ahli dan pimpinan AMANAH serta seluruh jentera Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun yang terus berusaha, berjuang dan berkorban untuk kesejahteraan negeri ini.

Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita semua dan terus istiqamah dalam pengorbanan menentang pengkhianatan dan melestari khidmat kepada masyarakat.

MK Ibrahim Abd Rahman

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button