Berita

Mohd Ibrahim: Bersatu khianati mandat rakyat

Mahu meneruskan agenda mewujudkan negara bersih dan bermaruah melalui KeADILan

Perkembangan politik semasa menunjukkan bahawa tidak semua yang dirancang akan berakhir mengikut apa yang telah dirancang.

1. Mungkin ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa politik adalah seni dan untuk itu, menepati janji dan mendahulukan perjuangan bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan atau ditunaikan.

2. Mungkin bagi sesetengah pihak kebencian itu merupakan asas kepada persahabatan. Apabila kita mulai kurang mendapat sambutan, kita bukannya mencari jalan untuk membaiki kelemahan tetapi mencari jalan keluar yang mudah.

3. Namun bagi mereka yang jujur, manusia dipegang pada janjinya. Jika tidak, musnahlah kepercayaan dan runtuhlah perjuangan. Justeru, saya beranggapan bahawa keruntuhan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan adalah lantaran keegoan sesetengan pihak yang kononnya kaya dengan pengalaman berpolitik tetapi miskin dari segi tanggungjawab dan maruah.

4. Dalam keadaan memungkiri janji pun mereka boleh mendabik dada bahawa merekalah yang hebat dalam berpolitik tatkala melompat untuk memasuki gelanggang lawan. Tanpa segan silu mereka mendakwa bahawa tindakan mereka adalah mengikut acuan politik semasa. Namun hakikat sebenarnya adalah untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata.

5. Saya akui bahawa saya amat keliru dengan perkembangan yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dewasa ini. Kelirunya saya bukan disebabkan bahawa saya naif atau baru dalam politik.

6. Ianya lebih dari itu. Saya hairan bagaimana kita boleh menghancurkan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. Kita tidak amanah dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan.

7. Kita menubuhkan parti ini dengan penuh kepayahan. Ramai yang telah berkorban dalam usaha menjayakan penubuhan parti ini. Kita mengharungi pelbagai cabaran. Ada juga yang menghadapi tindakan tanpa sebarang pembelaan.

8. Perjuangan asal Bersatu sangat murni. Kita mahu melahirkan Malaysia Baru yang boleh dibanggakan. Antara matlamat utama kita ialah untuk membasmi rasuah dan menjatuhkan kerajaan kleptokrat. Saban hari kita dendangkan matlamat ini kepada rakyat dan para pengundi sebelum PRU-14.

9. Ternyata rakyat begitu teruja dengan rancangan dan matlamat kita. Sehubungan dengan itu, di mana kita pergi, rakyat telah memberi sokongan yang padu. Akhirnya, Pakatan Harapan (PH) telah menang bergaya dalam PRU-14 dan membentuk kerajaan.

10. Bagi yang telah mengundi Pakatan Harapan dan menumbangkan BN, janji adalah segalanya buat mereka dan apabila ia tidak ditepati, sesalan pasti akan tidak membawa sebarang makna.

11. Pepatah Jerman ada mengatakan bahawa janji adalah seperti rembulan. Jika ia tidak terus diabadikan, ia akan hilang hari demi hari.
Penipuan yang paling besar adalah kesetian yang tidak dipatuhi. Ini berlaku apabila ada pihak yang lari dan meruntuhkan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan dalam usaha mengejar jawatan lebih tinggi.

12. Apabila rakyat membina mimpi bersandarkan apa yang telah kita janjikan kepada mereka dan kita mengkhianatinya, punahlah harapan mereka. Berhati-hatilah kerana mereka akan tahu apa yang perlu dilakukan apabila sampai masanya kelak.

13. Kita sebenarnya telah lupa kepada pengorbanan pejuang-pejuang asal Bersatu. Wadah perjuangan apa yang hendak kita cari? Bagaimana kita boleh bersekongkol dengan para pemimpin yang dahulunya kita tentang secara habis-habisan? Kalau dulu kita tentang kerajaan kleptokrat tapi akhirnya kita bekerjasama dengan mereka dalam satu gabungan untuk menubuhkan kerajaan.

14. Apabila saya tidak lagi mempercayai perjuangan Bersatu, tidak susah buat saya mencari seorang pemimpin yang begitu fokus dalam perjuangan.

15. Selama berpuluh tahun Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjuang bagi Malaysia yang lebih baik. Beliau menghadapi segala cabaran dan tohmahan. Namun pendiriannya tidak mampu digugat oleh sesiapa. Pelbagai persepsi dilemparkan ke arahnya. Namun demi kehidupan yang lebih baik untuk anak cucu kita, beliau tabah menghadapi rintangan. Sukar kita mencari pemimpin yang begitu cekal dalam perjuangan.

16. Nama Anwar Ibrahim akan terus dikenang dan akan diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai pejuang perubahan. Beliau yang sepatutnya marah kerana janji-janji yang dikhianati terhadapnya. Namun beliau tetap kuat dengan prinsip dan perjuangan. Luar biasa.

17. Anwar Ibrahim tidak akan lari dari perjuangan dan kesetiaan beliau mengatasi segala suara-suara politik yang begitu bising tetapi tanpa sebarang makna.

18. Ramai yang mencari Dato’ Seri Anwar sebelum PRU-14. Ketika itu Anwar dianggap sebagai kunci kepada kemenangan PRU-14. Untuk itu musuh menjadi kawan dan janji dibulatkan. Kita ada budaya dan apabila adat diisi janji dilabuh. Jangan kita duduk berkisar, tegak berpaling.

19. Lantaran itu saya membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

20. Ingin saya maklumkan bahawa saya tidak bersendirian. Bersama-sama saya ialah 600 ahli yang lain yang telah mengisi borang untuk menyertai KeADILan.

21. Saya berharap agar agenda mewujudkan sebuah negara yang bersih serta bermaruah akan dapat diteruskan melalui KeADILan.

22. Laluan ke Putrajaya akan kita mulakan semula dan dengan semangat dan prinsip yang betul; Insyah Allah kita akan berjaya.

Mereka bertanya kepada saya kenapa saya sukar untuk mengembalikan kepercayaan tetapi saya bertanya mengapa mereka sukar menepati janji. Politik dan janji ibarat kaca dalam genggaman. Tangan yang menggenggamnya akan berdarah dan yang rugi adalah diri sendiri.

Sekian. Terima kasih.

Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan

Bekas Ketua Cawangan Bersatu Teluk Kemang

20 Ogos 2020.

Show More

Related Articles

Back to top button